Harga Minyak Dijangka Turun Ke US$66 Setong Pada Suku Kedua 2026, pulih Menjelang Hujung Tahun - BMI
KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Harga minyak global dijangka menurun kepada USS$66 setong pada suku kedua 2026 selepas mencatat paras lebih tinggi sekitar US$78 setong pada suku pertama 2026, sebelum beransur pulih menjelang akhir tahun, menurut BMI.
Unit penyelidikan Fitch Solutions mengekalkan ramalan purata tahunan minyak mentah Brent pada US$70 setong bagi 2026.
Unjuran ini berdasarkan andaian pemulihan pasca-konflik yang agak pantas, dengan kerosakan minimum terhadap infrastruktur pengeluaran dan eksport kritikal serta normalisasi aliran minyak melalui Selat Hormuz dalam dua hingga empat minggu.
Namun, pasukan risiko negara BMI memberi amaran tentang peningkatan risiko konflik berlarutan, dengan kebarangkalian 35 peratus untuk senario “extend-to-end” (hingga lapan minggu) dan 25 peratus untuk senario “extend-to-escalate” (beberapa bulan).
“Sekiranya senario extend-to-end berlaku, kami akan menaikkan unjuran purata tahunan harga Brent kepada sekitar US$75 hingga US$82 setong bagi 2026,” menurut kenyataan BMI.
BMI juga menjangkakan jurang antara pasaran niaga hadapan dan pasaran fizikal tidak dapat dikekalkan lama, dan kesan limpahan terhadap harga Brent akan lebih ketara jika konflik berlarutan.
Selain itu, pasaran minyak global turut dijangka menghadapi defisit bekalan 7.5 hingga 15 juta tong sehari.
BMI menjelaskan bahawa pemain pasaran dan pembuat dasar telah menggunakan pelbagai langkah untuk mengimbangi gangguan bekalan dari rantau Teluk, termasuk pengalihan laluan paip yang mengelakkan Selat Hormuz, pelepasan rizab strategik, pengurangan stok minyak di laut dan simpanan komersial di darat, pelonggaran sementara sekatan berkaitan minyak tertentu terhadap Rusia (dan kesan lebih kecil, Iran), serta pelonggaran beberapa peraturan bahan api domestik.
Bagaimanapun, BMI memberi amaran bahawa penimbal ini semakin berkurangan, dan ruang untuk langkah-langkah mitigasi akan menjadi jauh lebih terhad dalam tempoh empat minggu akan datang berbanding empat minggu sebelumnya.
“Konflik berterusan akan meningkatkan risiko terhadap aliran minyak melalui Selat Hormuz dan penghantaran melalui Laut Merah, serta berpotensi melambatkan pemulihan pasca-konflik,” menurutnya.
-- BERNAMA