BERITA TERKINI   Agong titah JBPM tingkat tahap kesiapsiagaan berikutan cuaca panas yang berpotensi cetus peningkatan kes kebakaran | Fenomena cuaca panas: Agong titah KPM ambil perhatian serius, pastikan kesihatan murid tidak terjejas | Fenomena cuaca panas: Agong nasihat rakyat ambil langkah berjaga-jaga, kurangkan aktiviti luar | 

Prospek Sektor Penjagaan Kesihatan Kekal Positif Walaupun Kekurangan Kakitangan

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB) mengekalkan pendirian positif terhadap sektor penjagaan kesihatan di Malaysia walaupun terdapat kekurangan kakitangan perubatan.

Kementerian Kesihatan (KKM) baru-baru ini mengunjurkan bahawa lebih daripada 22,000 pakar akan diperlukan menjelang 2030, mendedahkan masih kekurangan 13,000 orang kerana tahap latihan ketika ini masih belum mencukupi untuk memenuhi keperluan itu.

Menurut kementerian, pada kadar semasa iaitu antara 1,000 hingga 1,400 pakar baharu setiap tahun, Malaysia hanya akan mencapai kira-kira 65 peratus daripada sasarannya menjelang akhir dekad ini.

MBSB IB berkata sistem penjagaan kesihatan Malaysia telah memasuki fasa peralihan sepenuhnya berikutan kegagalan model kontrak yang terbukti menerusi kadar penolakan jawatan tetap sebanyak 40 peratus serta pengambilan awal oleh Singapura, ditambah pula dengan kemerosotan 50 peratus dalam kemasukan, di mana hanya 529 graduan melaporkan diri untuk 5,000 slot latihan siswazah (housemanship) pada Januari, 2026.

Ia berkata krisis bekalan ini diburukkan lagi oleh keperluan terdesak untuk 13,000 pakar yang kini terhenti oleh pembayaran medikolegal tinggi dan premium indemniti yang melambung tinggi, memaksa KKM bergantung pada penyelesaian seperti seperti model kluster dan amnesti buruh asing bagi menutup kekurangan 15,000 jururawat.

“Akhirnya, dengan tekanan makroekonomi seperti harga minyak mencecah US$100 setong dan kenaikan inflasi perubatan yang menyusutkan perbendaharaan negara, peralihan kerajaan ke arah pendigitalan dan imbuhan bukan kewangan merupakan usaha terakhir yang kritikal untuk memulihkan maruah profesional sebelum sasaran pakar negara bagi 2030 menjadi mustahil untuk dicapai secara matematik,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Bank pelaburan itu percaya bahawa peralihan kerajaan daripada pengurusan krisis kepada tanggungjawab sistemik adalah tepat dalam menangani defisit sumber manusia asas semasa.

Beberapa pelan mitigasi utama berkemungkinan akan dilaksanakan untuk tahun-tahun mendatang, termasuk pengiktirafan undang-undang terhadap Kecuaian Sistemik, yang meletakkan tanggungjawab secara langsung kepada pengurusan hospital atas jurang kekurangan kakitangan dan kebolehcapaian pakar.

Pelan utama lain termasuk pelancaran Strategi RESET dan Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan Asas (MHIT) untuk membendung inflasi tuntutan perubatan menerusi insurans yang standard dan berpatutan serta penguatkuasaan latihan simulasi klinikal untuk prosedur berisiko tinggi dan menjamin kestabilan pentadbiran melalui lanjutan indemniti.

“Kami berpendapat bahawa peralihan ke arah pemulihan struktur dan akauntabiliti institusi ini berperanan sebagai batu loncatan untuk meningkatkan kualiti sistem penjagaan kesihatan negara serta menjadi asas kritikal bagi matlamat Rancangan Malaysia Ke-13 untuk menukar tenaga kerja kepada saluran yang mampan dan cekap,” kata MBSB IB.

Ia berkata KPJ Healthcare Bhd kekal sebagai pilihan utamanya untuk sektor ini dengan cadangan “neutral” dan harga sasaran RM2.92.

Setakat 10.35 pagi, saham KPJ Healthcare susut dua sen kepada RM3.39 dengan 412,300 saham diniagakan.

-- BERNAMA