Dasar Ketat Fed, Kejutan Harga Minyak Mungkin Kekalkan Ringgit Pada Sekitar 4.00 Minggu Depan
Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Ringgit dijangka diniagakan pada sekitar 4.00 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu hadapan memandangkan jangkaan konflik berpanjangan di Asia Barat terus memberi tekanan kepada mata wang tempatan.
Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB) menjelaskan pelabur juga mungkin kekal mengutamakan dolar AS sebagai lindung nilai daripada kemungkinan konflik kembali memuncak selepas tempoh jeda 10 hari AS berakhir bagi serangan ke atas kemudahan tenaga Iran.
“Prestasi awal ringgit yang cemerlang pudar ketika pembetulan di fasa akhir pasaran yang meningkat, apabila harga minyak mentah Brent yang kekal pada sekitar US$100 setong telah menambah kebimbangan mengenai inflasi di AS.
“Oleh itu, pelabur telah mengambil kira pendirian Rizab Persekutuan AS (Fed) yang akan lebih cenderung kepada pengetatan dasarnya, sekali gus menyokong dolar,” menurutnya dalam nota penyelidikan pada Jumaat.
Kenanga IB menjangkakan konflik Asia Barat berlanjutan hingga suku ketiga 2026 dan situasi itu akan mendorong Fed mengekalkan dasarnya ketat sehingga suku keempat 2026.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata lanjutan tempoh 10 hari oleh Donald Trump untuk Iran membuka semula Selat Hormuz gagal memberi kelegaan kepada pasaran minyak mentah.
Beliau berkata kebimbangan kalangan ahli Fed semakin meningkat terhadap risiko kenaikan inflasi, yang kini mengatasi kebimbangan terhadap kelemahan pasaran guna tenaga, telah menjadikan bank pusat AS itu berada dalam keadaan dilema dari segi dasar.
“Oleh itu, ringgit dijangka kekal lemah, mengekalkan trajektori semasa pada sekitar RM4.00 berbanding dolar AS ekoran kesan buruk ekonomi yang semakin ketara susulan kejutan harga minyak,” katanya kepada Bernama.
Bagi dagangan yang baru berakhir minggu ini, ringgit mengalami turun naik ketara antara RM3.92 hingga RM3.99 berbanding dolar AS.
Unit tempatan juga kehilangan momentum kenaikan dan mencecah RM4.00 pada tengah hari Jumaat ekoran peningkatan permintaan terhadap dolar AS sebagai mata wang selamat.
Trend itu berpunca daripada keraguan yang meningkat terhadap kemungkinan gencatan senjata di Iran.
Berasaskan mingguan, ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS pada 4.0105/0140 pada Jumaat daripada 3.9330/9415 pada akhir minggu dagangan sebelumnya.
Mata wang tempatan juga diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama minggu ini.
Unit domestik turun berbanding yen Jepun kepada 2.5084/5109 daripada 2.4716/4771 ketika ditutup Khamis minggu lepas dan kurang stabil berbanding pound British kepada 5.3368/3414 daripada 5.2246/2359.
Ringgit turut susut berbanding euro kepada 4.6197/6237 daripada 4.5139/5237.
Ringgit juga rendah berbanding mata wang negara ASEAN.
Mata wang tempatan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.1164/1194 daripada 3.0671/0740 pada akhir dagangan minggu lepas dan rendah berbanding baht Thailand kepada 12.1903/2077 daripada 11.9872/12.0204.
Unit domestik susut berbanding rupiah Indonesia kepada 236.1/236.5 daripada 231.4/232.0 minggu lepas serta kurang stabil berbanding peso Filipina kepada 6.62/6.63 daripada 6.54/6.56.
-- BERNAMA