Capital A Sasar Keluar Daripada Status PN17 Selepas Untung Empat Suku Berturut-turut
KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Capital A Bhd (Capital A) menyasarkan untuk keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17) selepas mencapai selama keuntungan empat suku berturut-turut, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Tony Fernandes.
Beliau berkata kumpulan itu dijangka mengemukakan penyata kewangan yang diaudit menjelang 10 April 2026, sebagai sebahagian daripada proses penjadualan semula.
“Secara dasarnya, suku keempat kami juga mencatatkan keuntungan. Saya pasti pengawal selia ingin melihat akaun yang telah diaudit, dan kami percaya akaun kami akan diaudit menjelang 10 April,” katanya pada sidang media hari ini.
Tony menambah bahawa Capital A juga akan mengemukakan akaun pengurusan suku pertamanya untuk menyokong permohonan keluar daripada PN17.
Terdahulu, pada 23 Januari, Capital A secara rasminya telah melengkapkan pelan penjadualan semula PN17nya, berikutan penyerahan perintah Mahkamah Tinggi yang dimeterainya bagi mengesahkan pengurangan modal sebanyak RM5.51 bilion.
Dalam pada itu, beliau berkata kumpulan itu sedang meneroka rancangan penyenaraian bagi anak syarikatnya, dengan anak syarikat pengurusan harta intelek (IP) AirAsia Next menjadi tumpuan utama.
“Kami percaya pasaran Amerika Syarikat akan memahami perniagaan ini dengan baik, dan kami berharap untuk menyenaraikan AirAsia Next di Amerika Syarikat sebelum akhir tahun.
“Banyak kerja yang sudah dilakukan, dan lembaga pengarah telah meluluskan peralihan menuju ke peringkat seterusnya,” katanya.
Sementara itu, Capital A sedang mempertimbangkan potensi penyenaraian berganda di Hong Kong, susulan minat daripada bursa saham Hong Kong.
Katanya, langkah itu didorong oleh minat yang meningkat daripada pelabur daripada pasaran global, terutamanya apabila modal daripada China, Amerika Syarikat dan Eropah semakin memberi tumpuan kepada sektor ASEAN.
“Pasaran saham Hong Kong mendekati kami apabila mereka melihat Capital A sebagai salah satu syarikat yang kukuh di ASEAN yang mereka ingin senaraikan di sana.
“Lembaga Pengarah telah meluluskannya, dan kami telah melantik bank untuk meneruskan proses diperlukan,” katanya.
Tony menyatakan bahawa penyenaraian berganda itu akan dilaksanakan seawal Julai atau Ogos tahun ini.
-- BERNAMA