Paragon Globe, GSP Bangunkan Hab Automotif Di Iskandar Puteri

JOHOR BAHRU, 30 Mac (Bernama) -- Paragon Globe Bhd (PGB) menjalin kerjasama strategik dengan GSP Automotive Group yang tersenarai di Shanghai menerusi anak syarikatnya, GSP Automotive Malaysia Sdn Bhd, bagi membangunkan hab industri automotif di Iskandar Puteri, Johor.

Pemaju hartanah itu memperuntukkan kira-kira 19.02 hektar daripada bank tanah utamanya seluas 44.1 hektar di Iskandar Puteri untuk mewujudkan hab rantaian bekalan automotif bersepadu sepenuhnya bersama GSP.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han, berkata GSP telah memperoleh kira-kira 2.19 hektar tanah, selain dua lot pegangan pajakan masing-masing seluas 3.43 hektar dan 5.45 hektar, dan kini meneruskan pembinaan kilang yang dianggarkan bernilai kira-kira RM141 juta.

“Selepas kemudahan ini siap, GSP merancang untuk melabur tambahan kira-kira RM188 juta bagi peralatan pengeluaran berteknologi tinggi,” katanya pada majlis pemeteraian kerjasama strategik antara kedua-dua syarikat hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Eksekutif PGB, Datuk Seri Edwin Tan Pei Seng, dan Ketua Pegawai Eksekutif GSP, Richard Zhou.

Lee berkata, bersama pelaburan tanah, inisiatif ini merupakan komitmen perindustrian berfasa, dengan sasaran siap menjelang akhir 2027, dan dijangka mewujudkan lebih 700 peluang pekerjaan.

“GSP, yang tersenarai di Bursa Saham Shanghai, merupakan pengeluar komponen automotif yang diiktiraf di peringkat global, membekalkan produk ke lebih 120 negara.

“Kerjasama ini penting kerana syarikat global bukan sahaja membawa kilang, malah turut membawa rangkaian, teknologi dan perkongsian jangka panjang,” katanya.

Sementara itu, Tan berkata perjanjian itu meletakkan asas bagi pembangunan bersama kluster perindustrian khusus berfokuskan automotif (AutoPark).

“Dengan menjadikan AutoPark ini berteraskan pengeluar yang diiktiraf global seperti GSP, kami mewujudkan tarikan kukuh kepada pelaburan langsung asing, pembekal antarabangsa dan pelabur teknologi, sekali gus memacu nilai mampan jangka panjang kepada pemegang saham kami,” katanya.

Zhou berkata projek itu dijangka menyokong pembangunan bakat dan memupuk pertumbuhan kluster industri automotif di Johor.

“GSP akan terus memperdalam pelaburannya di Malaysia, dengan bekerjasama rapat bersama rakan kongsi dan pihak berkepentingan bagi membangunkan pangkalan pembuatan moden yang menyumbang secara bermakna kepada pertumbuhan ekonomi serantau,” katanya.

-- BERNAMA