Keuntungan Bersih Vantris Energy Melonjak Kepada RM3.73 Bilion

KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Keuntungan bersih Vantris Energy Bhd melonjak kepada RM3.73 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2026 (TK2026), berbanding RM189.53 juta pada TK2025.

Ini didorong oleh pengiktirafan sekali sahaja kira-kira RM4.1 bilion dalam pengampunan hutang daripada langkah penstrukturan semulanya. 

Syarikat yang dahulunya dikenali sebagai Sapura Energy Bhd berkata ini sebahagiannya diimbangi oleh ketiadaan keuntungan daripada penjualan SapuraOMV Upstream Sdn Bhd berjumlah RM792.1 juta yang dilaksanakan pada tahun sebelumnya. 

Bagaimanapun, dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata keuntungan operasi susut sebanyak 88.5 peratus kepada RM69.70 juta. 

“Dari segi operasi, pendapatan sepanjang tahun kumpulan ini terjejas susulan satu projek di Angola yang berdepan cabaran pada awal tahun ini, namun portfolio yang lebih meluas kekal stabil,” kata penyedia perkhidmatan dan penyelesaian tenaga itu. 

Sementara itu, perolehan bagi TK2026 merosot sebanyak 20.4 peratus kepada RM3.74 bilion berbanding RM4.70 bilion sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh sumbangan yang lebih rendah daripada segmen kejuruteraan dan pembinaan (E&C) susulan penyiapan projek utama serta kemajuan yang lebih rendah pada projek yang dijalankan sepanjang tahun. 

Bagi suku keempat TK2026, keuntungan bersih kumpulan itu susut kepada RM167.04 juta daripada RM405.68 juta pada tahun sebelumnya. 

Perolehan bagi suku dalam tinjauan juga merosot kepada RM895.92 juta daripada RM1.19 bilion sebelumnya, disebabkan oleh sumbangan lebih rendah daripada segmen E&C, berikutan penyiapan projek utama dan kemajuan lebih rendah pada projek yang dijalankan pada suku tersebut. 

“Ini sebahagiannya dikurangkan oleh prestasi yang lebih kukuh daripada segmen penggerudian, yang mendapat manfaat daripada penggunaan pelantar yang lebih tinggi dan kadar sewa yang lebih baik pada suku keempat TK2026.  

“Sementara itu, perolehan daripada segmen operasi dan penyelenggaraan (O&M) secara relatifnya kekal stabil pada asas suku tahunan,” kata Vantris. 

Dalam pada itu, dalam satu kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhammad Zamri Jusoh berkata TK2026 menandakan titik perubahan bagi kumpulan itu. 

Beliau berkata kejayaan menyelesaikan penstrukturan semula kewangan kumpulan itu telah mengukuhkan lembaran imbangannya dan mengurangkan hutang dengan ketara, sekali gus meletakkan Vantris dalam kedudukan yang lebih kukuh menjelang TK2027. 

“Tumpuan kami kini beralih kepada pelaksanaan yang berdisiplin, ketika kami menangani keutamaan operasi yang lebih besar pada masa hadapan,” katanya. 

Pada masa sama, beliau berkata kumpulan itu menyasarkan untuk keluar daripada status Nota Amalan 17 dengan mencapai keuntungan bagi dua suku berturut-turut, mengekalkan momentum operasi dan meningkatkan keyakinan pihak berkepentingan. 

“Vantris kekal komited untuk melaksanakan pemulihannya, mengukuhkan daya tahan operasinya dan mewujudkan nilai jangka panjang bagi semua pihak berkepentingan. 

“Pada masa sama, kumpulan ini sedang memantau dengan rapat perkembangan geopolitik, terutamanya konflik yang berlaku di Asia Barat,” tambahnya. 

-- BERNAMA