BERITA TERKINI   PM Anwar puji kecekapan penjawat awam, lonjak prestasi Malaysia dalam IMD World Competitiveness Index 2026 | PM Anwar puji kecekapan penjawat awam, lonjak prestasi Malaysia dalam World Competitive Index | Pelaburan langsung Malaysia di luar negeri catat aliran keluar bersih lebih rendah bernilai RM12.4 bilion pada 2025 berbanding RM35.5 bilion pada 2024 - DoSM | Jumlah pelaburan langsung Malaysia di luar negeri sebanyak RM589.3 bilion pada akhir 2025 atau 29.1 peratus daripada KDNK berbanding 32.2 peratus pada 2024 - DoSM | FDI Malaysia meningkat 41.2 peratus kepada RM65.9 bilion pada 2025 daripada RM46.7 bilion pada 2024 - DoSM | 

Ringgit, Mata Wang Serantau Ditutup Rendah, Pelabur Tumpu Data AS, Perkembangan Asia Barat

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Ringgit dan mata wang serantau lain didagangkan rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa memandangkan sentimen pasaran kekal tertumpu kepada konflik di Iran serta krisis tenaga global.

Pada 6 petang, mata wang tempatan turun kepada 4.0475/0520 berbanding dolar AS daripada 4.0280/0350 ketika ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata sentimen pasaran kekal berhati-hati, dengan pelabur amat peka terhadap perkembangan konflik di Asia Barat di samping menunggu beberapa data ekonomi penting termasuk Indeks ISM AS bagi sektor pembuatan dan perkhidmatan minggu ini.

“Menarik untuk menyaksikan sentimen perniagaan pada Mac apabila menghadapi harga bahan api yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengeluarkan unjuran makroekonomi terbaru, dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diunjurkan antara empat hingga lima peratus bagi tahun ini.

“Angka itu sedikit tinggi berbanding 4.0 hingga 4.5 peratus ketika Belanjawan 2026 dibentangkan pada Oktober tahun lepas. Kadar inflasi dijangka meningkat kepada antara 1.5 hingga 2.5 peratus, lebih tinggi daripada inflasi tahun lepas pada 1.4 peratus.

“Dalam hal ini, BNM melihat ekonomi Malaysia berada pada kedudukan yang lebih baik untuk menghadapi cabaran ekonomi akibat perang di Iran,” katanya.

Pada akhir dagangan, ringgit rendah berbanding beberapa mata wang utama.

Unit tempatan turun berbanding pound British kepada 5.3484/3543 daripada 5.3311/3403 ketika ditutup semalam, dan susut berbanding yen Jepun kepada 2.5351/5381 daripada 2.5237/5282.

Ringgit juga kurang stabil berbanding euro kepada 4.6417/6468 daripada 4.6294/6374.

Ringgit didagangkan rendah berbanding mata wang negara ASEAN.

Mata wang tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1361/1399 daripada 3.1227/1284 ketika ditutup semalam, dan rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 237.5/237.8 daripada 236.9/237.4.

Unit domestik juga susut berbanding peso Filipina kepada 6.66/6.67 daripada 6.63/6.65, dan rendah berbanding baht Thailand kepada 12.2726/2926 daripada 12.2558/2831 ketika ditutup semalam.

-- BERNAMA