BERITA TERKINI   Kerajaan giat pelbagaikan sumber import minyak dan gas dari negara lain bagi jamin bekalan tenaga negara - PM Anwar | PM Anwar sifatkan penyebaran berita palsu ketika krisis sebagai pengkhianatan kepada negara | Kerajaan bertindak awal menampan impak krisis tenaga global menerusi Inisiatif Sokongan Rakyat - PM Anwar | Konflik di Asia Barat dijangka lebih parah, pemulihan ambil masa panjang - Anwar | Kerajaan setuju laksana kerja dari rumah bagi kementerian, agensi, badan berkanun dan syarikat GLC bermula 15 April - Anwar | 

Kerajaan Terus Pantau Rapi, Lindungi Rakyat Serta Urus Ekonomi Negara Secara Proaktif

KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Kerajaan akan terus memantau rapi dan berusaha supaya dapat melindungi rakyat di samping mengurus ekonomi negara secara proaktif, menyeluruh dan teratur, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. 

Beliau berkata asas ekonomi negara kekal kukuh dan berdaya tahan manakala respons awal telah pun dilaksanakan.

“Namun begitu, kerajaan kini mengambil pendekatan kesiapsiagaan tinggi untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuk krisis tenaga global. Ini adalah realiti yang bakal kita hadapi,” katanya dalam hantaran di laman sosial rasmi beliau hari ini.

Sebelum itu, beliau telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keterjaminan Tenaga dan Kesan Konflik Asia Barat Bilangan Ketiga bagi membincangkan dapatan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

“Konflik Asia Barat terus meruncing dan tidak kelihatan tanda-tanda penyelesaian dalam masa terdekat, seterusnya memberi tekanan dan implikasi yang besar terhadap tenaga, rantaian bekalan dan ekonomi global,” katanya. 

Amir Hamzah berkata ikhtiar kerajaan turut mengambil kira kesejahteraan rakyat dan kemampanan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta industri.

Oleh itu, kerajaan menggalakkan perubahan kepada gaya hidup yang lebih berhemat dan bersederhana seperti merancang perjalanan, perbelanjaan, penggunaan elektrik di rumah dan pejabat.

-- BERNAMA