Asia Vision Capital Menilai Projek Richmond Mayor Di Mount Austin, Johor Bahru
KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Firma modal teroka Asia Vision Capital Sdn Bhd, yang memberi tumpuan kepada penstrukturan dan pengurusan pelaburan ekuiti persendirian hartanah, sedang menilai projek hartanah di Mount Austin, Johor Bahru yang dikenali sebagai Richmond Mayor.
Richmond Mayor ialah sebuah pembangunan bercampur bersepadu yang menampilkan pusat beli-belah gaya hidup premium, selain hotel binaan khas empat bintang berjenama antarabangsa pertama di kawasan itu, suite pejabat, suite servis dan kediaman servis.
Ketua Pegawai Pelaburan Asia Vision Capitol Ian Khor berkata memandangkan Johor semakin berintegrasi dengan rantau ini, nilai jangka panjangnya semakin ditentukan oleh prestasi aset dalam keadaan sebenar, bukan sahaja pada tempat jualan.
“Bagi pelabur, ia berperanan penting kepada disiplin pelaksanaan, tadbir urusan dan keupayaan untuk mengekalkan penggunaan dari semasa ke sesama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Asia Vision Capital berkata pembangunan Richmond Mayor, yang secara strategiknya terletak di dalam salah satu perbandaran kediaman paling membangun di Johor Bahru, direka bentuk dengan teliti bagi melengkapi ekosistem kediaman, runcit dan destinasi gaya hidup Mount Austin yang rancak.
“Dengan komponennya yang disusun rapi agar berfungsi secara harmoni, projek ini bertujuan mewujudkan persekitaran yang mampan dan dinamik bagi meningkatkan kemudahan serta dinamisme untuk penduduk dan pelawat, sekali gus meletakkan Richmond Mayor sebagai nukleus dalam komuniti Mount Austin dan bukannya sebagai aset persendirian,” katanya.
Selain itu, ia berkata bahawa dalam beberapa tahun akan datang, beberapa inisiatif infrastruktur utama bakal membentuk semula Johor, termasuk Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor-Singapura dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, yang menunjukkan integrasi yang lebih mendalam serta stabil antara Johor Bahru serta Singapura.
“Memandangkan pergerakan merentas sempadan menjadi lebih mudah diramalkan, perhatian semakin beralih kepada perbandaran yang menyokong kehidupan seharian.
“Lokasi dengan komuniti kediaman, kemudahan serta akses yang mantap cenderung mendapat manfaat daripada permintaan yang konsisten dan bukannya lonjakan jangka pendek,” kata kenyataan itu.
-- BERNAMA