Niaga Hadapan Emas Dijangka Diniagakan Berhati-hati Minggu Depan

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 4 April (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan secara berhati-hati minggu depan susulan pasaran menjangkakan bank pusat kekal memperketat dasar berikutan peningkatan inflasi dipacu krisis tenaga global. 

Bank pusat juga sedang memantau perkembangan konflik di Asia Barat dan meneliti data ekonomi yang akan datang. 

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata pasaran kekal tidak menentu minggu ini tetapi menunjukkan tanda penyesuaian reaksinya terhadap perkembangan semasa. 

"Daripada memberi reaksi dan bertindak balas terhadap setiap tajuk berita, pasaran mula menyerap perkembangan tersebut sekali gus menunjukkan sebahagian besar perkembangan negatif tersebut mungkin sudah memberi kesan," katanya.

Emas sering kali bergerak secara berlawanan berbanding dolar Amerika Syarikat. 

Berdasarkan minggu ke minggu, kontrak April 2026 turun kepada US$4,459.80 setiap auns troy daripada US$4,740.20 setiap auns troy pada minggu sebelumnya tetapi Mei 2026 melonjak kepada US$4,689.30 setiap auns troy daripada US$4,479.80 setiap auns troy. 

Kontrak Jun, Julai dan Ogos 2026 turut ditutup tinggi pada US$4,708.60 setiap auns troy daripada US$4,513.70 setiap auns pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 69 lot daripada 60 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka menyusut sedikit kepada 58 kontrak daripada 87 kontrak.

Emas fizikal ditetapkan pada US$4,639.35 setiap auns troy mengikut penetapan harga London Bullion Market Association pada 2 April, 2026. 

-- BERNAMA