BERITA TERKINI   Tawaran Sunway ambil alih IJM luput selepas gagal penuhi syarat raih lebih 50 peratus saham undian | 

Unit Geohan Raih Subkontrak Sambungan Lebuhraya Pantai Baharu Bernilai RM103 Juta

KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Geohan Corporation Bhd melalui anak syarikatnya, Geohan Sdn Bhd meraih dua pakej subkontrak bernilai keseluruhan RM103 juta bagi Projek Sambungan Lebuhraya Pantai Baharu (New Pantai Highway) daripada IJM Construction Sdn Bhd.

Geohan merupakan pakar dalam kejuruteraan geoteknik, manakala IJM Construction, unit IJM Corporation Bhd, bertindak sebagai kontraktor utama projek lebuh raya itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengarah Urusan Geohan Lee Kim Seng berkata kontrak baharu ini menunjukkan kepentingan infrastruktur sebagai pemacu pertumbuhan utama syarikat.

“Meskipun wujud ketidaktentuan geopolitik antarabangsa, kami terus mengambil langkah proaktif untuk mengurus tekanan kos dan mengekalkan margin keuntungan.

"Dengan menggunakan jentera kami yang masih baharu dan menjimatkan bahan api, operasi dapat dijalankan dengan lebih cekap sambil mengekalkan disiplin kos,” katanya.

Geohan berkata mereka komited untuk menggunakan sepenuhnya sumber yang tersedia, termasuk pasukan berpengalaman dan jentera moden untuk memastikan kerja berkualiti tinggi dan projek siap mengikut jadual.

Bagi subkontrak pertama bernilai RM27.4 juta, Geohan akan menjalankan kerja paip air digali tangan serta ujian paip lengkap.

Sementara itu, subkontrak kedua bernilai RM75.6 juta pula melibatkan kerja paip teras (bored piling) dan kerja-kerja penggerudian 'reverse circulation', dengan kedua-duanya dijangka siap dalam 19 bulan dari tarikh mula kerja.

Dengan perolehan kontrak baharu ini, jumlah nilai perolehan kontrak yang belum dilunaskan oleh Geohan kini sekitar RM460 juta, merangkumi pembangunan kediaman, pembangunan bercampur, infrastruktur, dan industri di seluruh Semenanjung Malaysia.

"Bahagian infrastruktur kini membentuk kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan baki kontrak, naik daripada 17.3 peratus pada 31 Dis, 2025," katanya.

Geohan berkata perubahan ini mencerminkan fokus syarikat itu kepada projek awam bernilai tinggi, sekali gus memberi kejelasan pendapatan untuk dua tahun akan datang.

-- BERNAMA