Airasia X Tiada Hasrat Kurangkan Pekerja, Cuti Tanpa Gaji Walaupun Berdepan Tekanan Industri

KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- AirAsia X hari ini memberi jaminan tidak akan melaksanakan langkah mengurangkan jumlah pekerjaan atau menawarkan cuti tanpa gaji sebagai pilihan dalam mengurus lonjakan kos susulan krisis Asia Barat.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bo Lingam berkata kumpulan itu juga kekal komited dalam mengekalkan tenaga kerja sedia ada walaupun diasak tekanan serta cabaran industri pada masa ini.

“Buat masa ini, tiada sebarang langkah mengurangkan tenaga kerja dan cuti tanpa gaji secara sukarela,” katanya pada sesi taklimat media di sini, hari ini.

Selain itu, Bo berkata AirAsia X akan terus memantau senario operasi selain memastikan kelangsungan perniagaan dan melindugi para pekerjanya

Kenyataan itu dibuat beberapa hari selepas laporan media mengenai tindakan Batik Air Malaysia menawarkan cuti tanpa gaji secara sukarela kepada pekerjanya yang menjadi sebahagian daripada usaha pengurusan kos.

Menurut Batik Air, syarikat penerbangan itu akan bertindak mengurangkan sebanyak 35 peratus daripada jadual penerbangannya bagi separuh pertama April ini selain menawarkan cuti tanpa gaji secara sukarela kepada pekerja dengan permohonan dibuka sehingga 3 April bermula 6 April 2026.

-- BERNAMA