MTEN Teliti Pelbagai Sumber Bahan Api Hadapi Krisis Tenaga Global - Akmal Nasrullah
KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) meneliti langkah mempelbagaikan sumber input bahan api, memperkukuh kerjasama dengan negara dagang utama serta memastikan keterjaminan bekalan negara dalam mendepani krisis tenaga global.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata kerajaan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ketahanan bekalan negara.
“Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan agensi berkaitan sedang mengambil tindakan susulan terhadap usaha ini. Pada masa yang sama, Bank Negara Malaysia juga telah diputuskan untuk melaksanakan sokongan pembiayaan kepada firma yang terjejas,” katanya pada taklimat krisis tenaga global yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen tempatan hari ini.
Beliau berkata Kementerian Ekonomi telah dipertanggungjawabkan untuk menyelaras pendekatan dan inisiatif yang menyeluruh, merangkumi dasar makro, fiskal, kewangan dan sektoral, supaya setiap langkah yang diambil saling melengkapi serta benar-benar berkesan.
“Ini termasuk penyelarasan dengan kementerian berkaitan bagi mengenal pasti tindakan dan intervensi yang sesuai berdasarkan sektor yang terjejas, bukan sahaja bagi jangka pendek malah jangka sederhana, memandangkan krisis ini dijangka memberi kesan kepada ekonomi dan proses pemulihan dalam tempoh enam bulan hingga setahun,” tambahnya.
Menurut Akmal Nasrullah, bagi mengurangkan tekanan harian dan memastikan kelangsungan operasi, beberapa langkah praktikal turut dipersetujui, termasuk waktu bekerja fleksibel serta pelaksanaan Bekerja Dari Rumah (BDR) bagi sektor perkhidmatan awam mulai 15 April 2026, kecuali sektor kritikal seperti keselamatan, kesihatan dan pendidikan.
Beliau berkata tiga kertas telah dibincangkan dalam mesyuarat MTEN hari ini, iaitu Kertas 1: Tindakan Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan; Kertas 2: Keterjaminan Ubat dan Peranti Perubatan Negara; dan Kertas 3: Senario dan Impak Krisis Tenaga Global terhadap Operasi Haji.
“Kertas 1 menumpukan kepada usaha membanteras ketirisan dan penyeludupan barangan kawalan susulan konflik di Asia Barat.
“Terdapat tiga strategi utama yang digariskan, iaitu meningkatkan pengawasan rantaian bekalan seperti di stesen minyak dan sempadan, pelaksanaan Ops Tiris 4.0 secara bersepadu bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sempadan, dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di laut, serta pendekatan keseluruhan negara.
“Perkembangan semasa mengenai perkara ini akan dimaklumkan oleh Timbalan Perdana Menteri II atau KPDN,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata antara langkah jangka pendek bagi memastikan keterjaminan ubat dan peranti perubatan negara termasuk pemantauan stok ubat secara berpusat, mempelbagaikan sumber import, mengaktifkan pelan gerak balas kecemasan, menetapkan item tertentu sebagai barangan kawalan, serta melaksanakan Special Access Pathway bagi memastikan akses kepada keperluan kritikal.
“Bagi Kertas 2, kerajaan turut meneliti langkah yang lebih kukuh untuk jangka sederhana dan panjang, iaitu mewujudkan stok penimbal strategik nasional, beralih daripada penggunaan bahan mentah resin kepada polimer bagi sesetengah produk, membangunkan dasar keterjaminan ubat negara menerusi MyMedSecure, serta memperkasa industri ubat dan peranti perubatan tempatan,” katanya.
Bagi Kertas 3, Akmal Nasrullah berkata MTEN turut menerima pembentangan mengenai status 31,600 jemaah haji Malaysia, dengan keutamaan kerajaan adalah memastikan keselamatan mereka.
Beliau berkata dalam keadaan dunia yang tidak menentu, kerajaan akan terus bertindak secara teratur dan menyeluruh bagi memastikan rakyat terus dilindungi, bekalan strategik negara kekal terjamin serta ekonomi Malaysia terus berdaya tahan.
“Fokus kita bukan sekadar memantau krisis. Fokus kita ialah mengurus kesannya, mengurangkan risikonya, dan memastikan rakyat dapat melalui tempoh mencabar ini sebaik mungkin,” katanya.
-- BERNAMA