BERITA TERKINI   PRN Johor: Senarai calon BN kini di peringkat akhir - Ahmad Zahid | PRN Johor : BN utamakan tawaran terbaik buat rakyat, bukan serangan politik - Ahmad zahid | Koperasi Profesional Putrajaya Berhad catat prestasi baik, rekod tatakelola teratur - PM Anwar | Jangan ada unsur pengkhianatan dalam sebarang kerjasama politik di negara ini - PM Anwar | Aspek tatakelola penting dalam pembangunan, kegiatan koperasi di negara ini - PM Anwar | 

Malaysia Komited Pastikan Keselamatan Tenaga Domestik Kekal Terjamin - Akmal Nasrullah

KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Malaysia menegaskan komitmennya untuk memastikan keselamatan tenaga domestik kekal terjamin dan pada masa sama terus berperanan sebagai rakan strategik yang diyakini dalam menyokong kestabilan rantaian bekalan tenaga antarabangsa, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Menurutnya melalui perbincangan beliau dengan Menteri Perubahan Iklim dan Tenaga Australia Chris Bowen, Australia turut memberi jaminan bahawa langkah penyesuaian di bawah mekanisme keterjaminan gas domestik negara itu tidak akan menjejaskan kepentingan Malaysia.

Akmal Nasrullah menerusi hantaran di media sosial beliau hari ini berkata perbincangan secara dalam talian itu bertujuan membincangkan isu keselamatan tenaga serantau dan global berikutan ketidaktentuan pasaran tenaga akibat konflik di Asia Barat.

“Antara tumpuan utama perbincangan adalah keadaan semasa rantaian bekalan minyak, gas dan bahan api bertapis serta tekanan berterusan ke atas pasaran tenaga global susulan faktor geopolitik.

“Kami berdua juga bersetuju bahawa komunikasi awam yang jelas, konsisten dan berprinsipkan “no surprises” (tidak mengejutkan) amat penting supaya setiap kenyataan difahami dengan tepat dan tidak menimbulkan salah tafsir,” katanya.

Akmal Nasrullah berkata dalam keadaan dunia yang semakin tidak menentu, pendekatan bukan sahaja terletak kepada tindak balas terhadap krisis, sebaliknya bagaimana untuk membuat persediaan, menguruskan risiko dan melindungi kepentingan negara.

-- BERNAMA