Harga Minyak Meningkat Ketika pasaran Memantau Gencatan Senjata AS-Iran, Isu Selat Hormuz
KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Harga minyak meningkat menghampiri US$100 setong dalam persekitaran ketidaktentuan yang berlarutan mengenai gencatan senjata Amerika Syarikat (AS)- Iran selama dua minggu dan penutupan semula Selat Hormuz oleh Iran susulan serangan Israel ke atas Lubnan.
Setakat ini, minyak mentah Brent naik 2.32 peratus kepada US$96.95 setong manakala West Texas Intermediate (WTI) meningkat 3.01 peratus kepada US$97.42 setong selepas kedua-dua penanda aras itu menyusut lebih 15 peratus pada sesi dagangan sebelumnya.
Pada Rabu, AS dan Iran bersetuju mengadakan gencatan senjata selama dua minggu dan dalam tempoh itu Tehran membenarkan kapal-kapal melalui Selat Hormuz dengan selamat.
Perkembangan ini mencetuskan reaksi yang cepat apabila WTI menyusut sehingga 19 peratus kepada US$91 manakala Brent susut 16 peratus kepada US$92.
Menurut Standard Chartered, perubahan harga yang pantas mungkin melebihi yang sepatutnya, dan harga minyak dijangka melonjak sekiranya ketegangan kembali memuncak atau terdapat sebarang kenyataan keras.
"Unjuran purata minyak mentah Brent bagi suku kedua 2026 kami adalah US$98 setong dan WTI US$92.50 setong," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Israel melancarkan serangan paling buruk ke atas Lubnan sejak konflik dengan Hezbollah semakin meruncing pada bulan lepas.
Lebih 250 orang dilaporkan terbunuh pada Rabu ketika kumpulan yang disokong Iran itu meneruskan semula serangan roket ke utara Israel selepas berhenti seketika semasa gencatan senjata.
Iran dilaporkan telah menyediakan laluan alternatif untuk kapal yang melalui Selat Hormuz bagi mengurangkan risiko periuk api laut di laluan perkapalan utama selain mengubah tempat kapal masuk dan keluar bagi laluan perairan penting.
Menurut Standard Chartered, pergerakan harga dalam masa terdekat ini masih dipacu oleh perkembangan konflik AS-Iran.
Ketegangan itu telah mewujudkan beberapa kawasan konflik di rantau itu, mengurangkan pergerakan kapal yang melalui Selat Hormuz dan menyebabkan pengeluaran minyak dihentikan sementara di negara-negara Teluk.
Keadaan berkenaan sekali gus menekankan isu kapasiti yang terhad dan kebergantungan kepada laluan transit utama.
“Kami menjangka situasi semasa ini akan berterusan apabila Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) mempekenalkan metrik kapasiti mampan yang maksimum,” katanya.
Menurut CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd, di Malaysia, sekatan pergerakan ketika COVID-19 boleh dijadikan contoh sebagai senario terburuk sekiranya konflik di Asia Barat berpanjangan dan menjejaskan rantaian bekalan, sehingga memerlukan sekatan pergerakan.
Walaupun dalam keadaan sedemikian, firma pembrokeran berkenaan menjangka kesan itu adalah sementara dan mengunjurkan pasaran bersedia untuk pulih.
“Pengalaman berbelanja besar selepas sekatan pergerakan COVID-19 serta langkah bank pusat di seluruh dunia menambahkan kecairan di pasaran sewajarnya menyebabkan pasaran memfokuskan kepada isyarat pemulihan daripada terlalu bimbang mengenai risiko terburuk,” katanya.
-- BERNAMA