Unit Hong Seng Meterai Perjanjian Penyelesaian Hutang Berjumlah RM63.61 Juta
KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Hong Seng Consolidated Bhd (Hong Seng), AIMAX Capital Sdn Bhd memeterai perjanjian penyelesaian hutang berjumlah RM63.61 juta dengan empat peminjam.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan terpelbagai itu berkata AIMAX Capital memeterai perjanjian tersebut pada Khamis dengan Datuk Liu Han Ming, Von Victory Sdn Bhd, Chia Yan Mei dan Nah Choon Jeck.
“Cadangan penyelesaian hutang itu melibatkan penyelesaian penuh dan terakhir bagi keterhutangan utama.
“Ia akan diselesaikan menerusi pemindahan 184 unit pangsapuri servis, semuanya terletak di Kajang, Selangor, pada jumlah nilai penyelesaian yang dipersetujui sebanyak RM62.48 juta (nilai penyelesaian) kepada AIMAX Capital dan/atau penamanya,” kata Hong Seng.
Cadangan penyelesaian hutang itu melibatkan jumlah keterhutangan utama sebanyak RM63.61 juta, menjadikan jumlah perbezaan sebanyak RM1.12 juta.
Daripada jumlah itu, Liu menyumbang sebanyak RM36.95 juta, akan diselesaikan dengan 109 unit bernilai RM36.40 juta, menjadikan jumlah perbezaan sebanyak RM548,193.95.
“Jumlah tertunggak Von Victory sebanyak RM6.17 juta akan diselesaikan dengan 18 unit bernilai RM6.06 juta, menjadikan jumlah perbezaan sebanyak RM114,570.27.
“Sementara itu, keterhutangan Chia pula sebanyak RM6.24 juta akan diselesaikan dengan 14 unit bernilai RM6.11 juta, dengan jumlah perbezaan sebanyak RM127,035.26,” katanya.
Dalam pada itu, jumlah Nah sebanyak RM14.24 juta akan diselesaikan dengan 43 unit bernilai RM13.91 juta, menjadikan jumlah perbezaan sebanyak RM332,507.88.
Menurut perjanjian itu, AIMAX Capital bersetuju untuk menyerahkan atau menukar semua faedah, hak, hak milik, kepentingan, tugas dan obligasinya dalam dan kepada hartanah tersebut kepada anak syarikat milik penuhnya, AIMAX Assets Sdn Bhd.
Unit itu yang terlibat dalam pegangan pelaburan dan pelaburan hartanah, akan memperkemaskan pemilikan, pegangan dan pengurusan hartanah.
-- BERNAMA