BERITA TERKINI   Liga Super: Kelantan The Real Warriors FC 0-2 KL City FC | Usaha pembenihan awan di selatan Semenanjung, khususnya Melaka akan dipergiat - TPM Ahmad Zahid | 

Bursa Malaysia Dibuka Tinggi

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi sedikit pada Jumaat, mengambil petunjuk daripada prestasi Wall Street semalaman yang positif menjelang rundingan gencatan senjata antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran di Pakistan hujung minggu ini.

Pada 9.06 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 2.85 mata atau 0.16 peratus kepada 1,689.09 daripada 1,686.24 pada Khamis.  

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 5.23 mata kepada 1,691.47. 

Pasaran secara menyeluruh positif, dengan 200 kaunter untung mengatasi 100 kaunter rugi manakala 233 kaunter tidak berubah, 2,175 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 117.46 juta saham bernilai RM60.42 juta.

Menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) dalam nota penyelidikan hari ini, FBM KLCI dijangka kekal tidak menentu menjelang rundingan antara AS dan Iran pada hujung minggu ini, dengan sentimen bergantung pada perkembangan mengenai Selat Hormuz, terutamanya dari segi pembukaan semula dan kestabilannya.

Katanya risiko geopolitik kekal tinggi susulan ketegangan berterusan antara Iran dan Israel serta pelanggaran gencatan senjata, mewujudkan keraguan terhadap rundingan damai tersebut.

“Ketegangan yang meningkat atau rundingan yang gagal berpotensi menjejaskan kenaikan yang dicatatkan baru-baru ini. Paras sokongan utama dilihat pada 1,650 hingga 1,664 manakala paras halangan pada 1,705 hingga 1,730,” menurut bank pelaburan itu hari ini. 

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat empat sen kepada RM11.16, Public Bank naik satu sen kepada RM4.60, CIMB menokok lima sen kepada RM7.45, Tenaga Nasional mendatar pada RM14.12 dan IHH Healthcare menurun lapan sen kepada RM8.83.

Dalam senarai paling aktif, Bumi Armada dan Pegasus, masing-masing meningkat setengah sen kepada 37.5 sen dan setengah sen, Jiankun naik satu sen kepada 5.5 sen, TWL mendatar pada 2.5 sen dan Velesto merosot setengah sen kepada 35 sen. 

Dalam kalangan kaunter paling untung, Hong Leong Financial Group meningkat 26 sen kepada RM18.76, Atlan dan Hong Leong Bank, masing-masing naik 10 sen kepada RM2.60 dan RM22 serta MI Technovation menambah tujuh sen kepada RM2.92. 

Kaunter paling rugi termasuklah Nestle, merosot RM1.14 kepada RM100.10, Petronas Dagangan berkurangan 52 sen kepada RM21.40, QL Resources menurun 11 sen kepada RM3.98 dan Sarawak Oil Palms menyusut 10 sen kepada RM4.62. 

Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 meningkat 23.06 mata kepada 12,233.62, Indeks FBM Emas naik 25.67 mata kepada 12,384.55, Indeks FBM Mid 70 menambah 42.98 mata kepada 17,241.33, Indeks FBM Emas Shariah menokok 14.95 mata kepada 12,273.09 dan Indeks FBM ACE meningkat 28.32 mata kepada 4,403.16. 

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 82.20 mata kepada 19,759.47, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menurun 0.08 mata kepada 184.40, Indeks Tenaga berkurangan 0.68 mata kepada 813.06 dan Indeks Perladangan merosot 1.76 mata kepada 8,988.34.  

-- BERNAMA