BERITA TERKINI   Kerajaan beri amaran kepada korporat, industri supaya hentikan aktiviti "channel switching" dan beli minyak pada harga pasaran atau berhadapan dengan tindakan - Amir Hamzah | APAD batal Lesen Pengendali syarikat pemandu treler, MFG Barokah Enterprise susulan kemalangan maut di Gemas Baharu, Johor korbankan tiga nyawa | Krisis Tenaga Global: Langkah kekalkan subsidi bersasar diesel pastikan sektor kritikal seperti nelayan, pengangkutan awam terus nikmati diesel pada kadar terkawal - Amir Hamzah | Krisis Tenaga Global: Kerajaan kini tanggung kos subsidi petrol dan diesel sebanyak RM6 bilion berbanding RM700 juta sebelum perang - Amir Hamzah | Krisis tenaga global: Bekalan minyak Malaysia lebih kukuh berbanding negara lain - Amir Hamzah | 

Data Pemacu Penting Pertumbuhan Ekonomi, Daya Saing Negara -- Timbalan Menteri

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Data muncul sebagai pemacu penting pertumbuhan ekonomi dan daya saing negara dengan keupayaan Malaysia mengurus serta memanfaatkannya secara berkesan dapat memastikan kedudukan dalam ekonomi digital global.

Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata data turut berperanan penting dalam memacu inovasi serta pengembangan ekonomi dalam landskap digital masa kini dan cara dimanfaatkan akan mempengaruhi daya saing negara di masa depan.

“Dalam dunia digital hari ini, data memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan inovasi. Sejauh mana kecekapan kita dan penggunaan data akan membentuk bagaimana kita mampu berdiri sebagai sebuah negara,” katanya pada majlis pemeteraian kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) pusat data Silverstreams di sini, hari ini.

Menjelaskan selanjutnya, Wilson juga menyifatkan data sebagai aset strategik negara, memastikan pengurusan cekap dan penggunaan penting dalam menentukan kekuatan dan daya saing ekonomi.

Sehubungan itu, beliau menekankan bahawa pembangunan pusat data moden bukan lagi satu pilihan tetapi keperluan asas bagi menyokong pertumbuhan ekonomi digital serta inovasi berteknologi.

Pembangunan infrastruktur sedemikian juga dapat menentukan daya saing negara dalam ekonomi digital negara selain menarik pelaburan berkualiti tinggi dan mempercepat inovasi teknologi.

Pusat data juga, katanya, lebih daripada sekadar prasarana dan berperanan penting dalam pengupayaan ekonomi digital di masa depan.

“Sebarang pembangunan pusat data bukan hanya melibatkan aspek infrastruktur, tetapi pengupayaan ekonomi digital masa depan. Infrastruktur data yang kukuh adalah penting untuk menyokong kecerdasan buatan, analitik maju serta inovasi digital,” katanya.

Wilson berkata usaha memperkukuh keupayaan pusat data tempatan juga penting bagi meningkatkan kedaulatan data negara, mengurangkan kebergantungan terhadap infrastruktur asing sambil memperkukuh kemampuan Malaysia mengurus sistem digital sendiri.

-- BERNAMA