BERITA TERKINI   Liga Super: Kelantan The Real Warriors FC 0-2 KL City FC | Usaha pembenihan awan di selatan Semenanjung, khususnya Melaka akan dipergiat - TPM Ahmad Zahid | 

ADFIM Minta Pelanggan Terjejas Hubungi DFI Untuk Sokongan Dalam Tempoh Sukar

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Persatuan Institusi-Institusi Kewangan Pembangunan (ADFIM)  meminta pelanggan untuk menghubungi institusi kewangan pembangunan (DFI) dan pertubuhan pembangunan usahawan (EDO) masing-masing bagi meneliti pilihan sokongan yang tersedia.

Menurut ADFIM, langkah itu membuktikan komitmen berterusan institusi-institusi berkenaan dalam memberi keyakinan, kerjasama serta penyelesaian praktikal pada tempoh yang mencabar.

Dalam kenyataannya, persatuan itu turut menekankan kepentingan komunikasi yang jelas serta empati dalam tempoh yang tidak menentu.

“Persatuan ini akan terus mengukuhkan libat urus dengan pihak berkepentingan di peringkat negeri serta Persekutuan bagi memastikan inisiatif-insiatif relevan dan pendekatan sokongan menerusi komunikasi yang jelas serta diterima masyarakat yang amat memerlukannya.”

ADFIM menyatakan ketika pelanggan mengharungi ketidaktentuan global semasa, termasuk perkembangan baru-baru ini di Asia Barat, pihak DFI dan EDO terus memainkan peranan penting untuk membantu sektor-sektor strategik seperti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan segmen yang kurang menerima perkhidmatan dalam ekonomi.

“Komunikasi awal dan terbuka itu membolehkan DFI dan EDO mendapat pemahaman (jelas) mengenai keadaan individu selain mengenal pasti pilihan sokongan yang adil, praktikal serta bertindak balas terhadap keperluan pelanggan,” menurutnya.

Bantuan itu berkemungkinan termasuk aturan pembayaran semula yang fleksibel, penstrukturan semula kemudahan pembiayaan dan sokongan nasihat bersasar bagi mengurangkan tekanan jangka pendek.

“(Kemudahan) bantuan ini bertujuan mengekalkan daya maju perniagaan dalam jangka panjang, selaras dengan mandat pembangunan DFI dan EDO untuk menggalakkan daya tahan ekonomi yang inklusif.”

Pada masa sama, ADFIM turut memberi jaminan kepada orang ramai bahawa kalangan ahlinya mempunyai modal mencukupi dan terus beroperasi dalam rangka kerja pengurusan risiko berhemat dan mantap, membolehkan menyediakan sokongan berterusan kepada pelanggan sambil mengekaalkan kestabilan kewangan secara menyeluruh.

“Persatuan juga menegaskan ekosistem DFI dan EDO kekal komited untuk bekerjasama erat dengan kerajaan, pengawal selia, pelanggan serta pihak berkepentingan utama bagi memastikan perniagaan yang berdaya maju serta komuniti yang terjejas terus menerima bantuan diperlukan,” menurutnya.

Kesemua usaha kolektif itu, menurut ADFIM, dapat menyokong matlamat Malaysia yang lebih meluas untuk memupuk pertumbuhan ekonomi inklusif, mampan serta berdaya tahan.

-- BERNAMA