BERITA TERKINI   329,000 tong diesel yang dihantar ke Filipina bukan dari Malaysia - MTEN | Liga Super: Imigresen FC 0-0 Penang FC | Liga Super: Selangor FC 1-1 Sabah FC | 

Niaga Hadapan KLCI Dijangka Diniagakan Tinggi Minggu Depan Sejajar Dengan Pasaran Tunai

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan lebih tinggi minggu depan, seiring dengan pasaran tunai pendasar, kata peniaga.

Menurut mereka, pasaran tunai dijangka menunjukkan aliran menaik disokong oleh sentimen yang lebih kukuh, dengan peserta pasaran secara aktif memantau perkembangan konflik di Asia Barat termasuk rundingan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang dijadual berlangsung di Islamabad pada hujung minggu ini.

Bagi minggu dagangan yang baru berakhir, kontrak niaga hadapan diniagakan dalam jajaran kecil sepanjang minggu, seiring dengan pasaran tunai.

Berdasarkan perbandingan Jumaat ke Jumaat, kontrak April 2026 dan Mei 2026 masing-masing susut 14.5 mata kepada 1,685.5 dan 1,686.5, manakala Jun 2026 merosot 11.5 mata kepada 1,687.0 dan September 2026 turun 15.0 mata kepada 1,665.5.

Jumlah dagangan mingguan menyusut kepada 32,544 lot daripada 54,581 lot minggu lepas, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 38,759 kontrak pada Jumaat daripada 35,688 kontrak seminggu sebelumnya.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, FBM KLCI susut 4.19 mata kepada 1,691.31 daripada 1,695.50 pada minggu sebelumnya.

-- BERNAMA