Perkembangan Geopolitik Dijangka Pacu Niaga Hadapan Emas Kepada US$4,800 Minggu Depan
Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka mencatatkan peningkatan minggu depan dengan potensi menghampiri paras US$4,800 di tengah-tengah perkembangan geopolitik yang berterusan.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, harga emas meningkat secara beransur-ansur memandangkan krisis Asia Barat mendorong harga minyak mentah menjadi lebih tinggi.
“Perkara ini meningkatkan kebimbangan terhadap inflasi, sekali gus menjadikan emas semakin menarik sebagai pelaburan aset selamat,” katanya kepada Bernama.
Bagi perbandingan minggu ke minggu, kontrak bulan semerta April 2026 menokok kepada US$4,768.20 setiap auns troy daripada US$4,670.00 setiap auns troy yang dicatatkan pada minggu sebelumnya.
Kontrak Mei 2026 berkembang kepada US$4,788.70 setiap auns troy daripada US$4,689.30 setiap auns troy.
Kontrak Jun, Julai, dan Ogos 2026 juga ditutup dengan lebih kukuh pada paras US$4,807.30 setiap auns troy auns daripada US$4,708.60 setiap auns troy pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan mingguan bertambah kepada 89 lot daripada 69 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka bertambah baik kepada 95 kontrak daripada 58 kontrak.
Harga emas fizikal ditetapkan pada US$4,762.60 setiap auns troy mengikut penetapan harga London Bullion Market Association pada 9 April, 2026.
-- BERNAMA