Realiti Landskap Keselamatan Global Tuntut Malaysia, Turkiye Tingkat Hubungan Pertahanan
Oleh Harizah Hanim Mohamed
KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) – Malaysia dan Turkiye disaran bertindak mengukuhkan lagi kerjasama pertahanan dengan melangkaui aspek perolehan dan mewujudkan kerjasama strategik selain membangunkan industri pertahanan serta aeroangkasa tempatan secara bersama.
Berdasarkan kepentingan itu juga, Malaysia perlu meningkatkan kerjasama dengan Turkiye dengan kecenderungan ke arah penjajaran strategik, kata ahli akademik yang juga Pengarah Dasar dan Libat Urus, Pembangunan Perniagaan (Asia Tenggara) Warwick Manufacturing Group, Universiti Warwick United Kingdom, Dr Kogila Balakrishnan.
“Hubungan dua hala ini perlu dipertingkatkan sebagai kerjasama strategik yang berteraskan dasar pertahanan, penjajaran dasar luar dan strategik yang koheren (logik),” katanya dalam wawancara bersempena acara Dialog KL-Ankara Dialogue 2026 di sini pada Selasa lepas.
Kogila berkata sejajar dengan kedudukan Malaysia sebagai rakan pertahanan ketujuh terbesar Turkiye dan tertua di Asia Tenggara, perkongsian strategik itu juga perlu merangkumi program latihan bersama serta kerjasama penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memperkukuh sektor pertahanan Malaysia.
Beliau berkata keperluan memperkukuh kerjasama pertahanan itu menjadi lebih penting berikutan situasi keselamatan yang tidak menentu akibat konflik Asia Barat.
“Dasar pertahanan dan luar Malaysia harus menggabungkan strategi industri dengan Turkiye dan menekankan pendekatan penyetempatan jelas serta mengambil kira aspek imbalan,” katanya.
Malaysia juga, katanya, perlu melaksanakan pendekatan sistem lebih meluas dan progesif berdasarkan pelan tindakan yang bermula dengan hala tuju strategik di peringkat kerajaan dan disusuli dengan pertukaran pengetahuan berstruktur antara institusi pertahanan, pertubuhan penyelidikan dan akademia kedua-dua negara.
Kogila berkata ini termasuk pembangunan program latihan bersama, kerjasama penyelidikan dan pembangunan (R&D), pusat kecemerlangan serta pembinaan kepakaran dalam integrasi sistem, pengurusan program serta teknologi pertahanan.
“Tumpuan juga perlu diberikan kepada pengkomersialan dan nadi perindustrian kerjasama ini,” katanya.
Pendekatan itu juga tidak harus bersifat transaksi semata-mata tetapi lebih berteraskan perspektif sistem yang lebih meluas.
Pada awal tahun ini, kerajaan telah melancarkan Dasar Industri Pertahanan Negara (NDIP) iaitu pelan strategik jangka panjang untuk mengurangkan kebergantungan Malaysia terhadap pihak asing dalam aspek keselamatan dan pertahanan sambil membangunkan industri pertahanan tempatan yang berdikari, mampan serta berdaya tahan.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin juga telah mengingatkan bahawa landskap keselamatan global yang kian rumit dan tidak menentu itu memerlukan Malaysia bertindak memperkukuh keupayaan pertahanan dengan membangunkan industri domestik serba mantap serta kompetitif.
Antara pembaharuan utama yang digariskan adalah menetapkan kandungan tempatan minimum 30 peratus bagi setiap perolehan pertahanan selain keperluan semua aktiviti penyelenggaraan, pembaikan dan pengubahsuaian (MRO) dijalankan oleh syarikat tempatan, kecuali ketika tempoh waranti yang masih berada di bawah pengeluar peralatan asal (OEM).
Sehubungan itu, Kogila berkata pelancaran NDIP itu sememangnya tepat berikutan ketidaktentuan geopolitik yang ketara, namun pada masa sama masih wujud jurang dalam dasar, terutama dari aspek struktur pelaksanaan, komitmen perbelanjaan pertahanan selain kejelasan mengenai keupayaan.
“Ini penting kerana keupayaan ini akhirnya dapat diterjemahkan kepada inisiatif yang dipacu oleh perolehan,” katanya.
Beliau berkata di sebalik keperluan Malaysia mencapai sasaran 30 peratus kandungan tempatan secara berperingkat, kekuatan negara dalam MRO dan semikonduktor juga boleh dimanfaatkan untuk meletakkan Malaysia sebagai hab serantau bagi pesawat Turkiye di Asia Tenggara.
Pada masa ini, aspek perolehan Malaysia dari Turkiye merangkumi kenderaan berperisai, dron dan kapal laut dengan penekanan ketara terhadap platform pengawasan dan maritim selain kemungkinan pengembangan masa depan merangkumi pesawat pejuang.
Laporan sebelum ini menyatakan jumlah perbelanjaan pertahanan Asia Tenggara telah meningkat sebanyak 7.5 peratus kepada US$55 bilion pada 2025 iaitu peningkatan tiga kali sejak 2015.
Walaupun pasaran senjata rantau ini terus didominasi oleh firma-firma Amerika Syarikat, Eropah dan penglibatan makin ketara dari Korea Selatan, pada masa sama, syarikat pertahanan Turkiye juga muncul sebagai pemain utama yang giat meningkatkan lagi bahagian pasaran.
-- BERNAMA