GGR Motor Sasar Jualan 3,000 Motosikal Elektrik Sebulan
IPOH, 12 April (Bernama) -- GGR Motor Group (GGR Motor) menyasarkan jualan sekurang-kurangnya 3,000 unit motosikal elektrik (EV) sebulan sebagai sasaran minimum untuk tahun ini, sejajar dengan peningkatan kapasiti pengeluaran dan pengembangan rangkaian pengedaran.
Pengarah Urusan Kumpulan GGR Motor Muhammad Musaddiq Mohamed Azmi berkata dalam usaha mencapai sasaran tersebut, syarikat itu kini sedang meningkatkan kapasiti kilang pemasangan serta menambah tenaga kerja bagi mempercepatkan penghantaran kepada pelanggan.
“Sasaran ini adalah realistik berdasarkan permintaan semasa pasaran. Jika konsisten, kita boleh capai sekitar 36,000 unit setahun untuk satu model sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan sempena Majlis Pelancaran GGR X EV Ipoh di sini hari ini.
Selain itu, pihaknya turut menyasarkan untuk memiliki sekurang-kurangnya 100 pengedar rasmi di seluruh negara menjelang akhir tahun ini sebagai langkah memperluaskan capaian pasaran.
Sementara itu beliau berkata sebanyak 8,000 unit motosikal EV model Lion G1 telah terjual sejak dilancarkan pada Jun tahun lalu sekaligus menandakan permulaan positif dalam menembusi pasaran motosikal elektrik di negara ini.
Katanya daripada jumlah berkenaan, lebih 6,000 unit telah dihantar kepada pelanggan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
“Berdasarkan maklum balas pengguna, penggunaan motosikal EV mampu mengurangkan kos harian dengan ketara, terutamanya bagi mereka yang menggunakan motosikal untuk perjalanan jarak dekat dan kegunaan dalam bandar.
“Selain itu, pasaran EV di Malaysia tidak akan berkembang secara mendadak, tetapi akan meningkat secara konsisten. Apa yang kita lihat hari ini adalah permulaan kepada satu perubahan besar dalam industri automotif negara,” katanya.
Sementara itu, Ketua Cawangan GGR X EV Ipoh Mohamed Izwan Abdul Karim ketika ditemui berkata pemilihan Ipoh sebagai lokasi cawangan baharu adalah berdasarkan potensi pasaran selain kedudukannya yang strategik sebagai hab penghubung antara utara dan selatan Semenanjung Malaysia.
Beliau optimis bahawa model Lion G1 mampu mendapat sambutan baik di Ipoh selain menyasarkan sekurang-kurangnya 50 hingga 80 unit berjaya di jual dalam sebulan.
“Kita melihat Ipoh sebagai lokasi strategik kerana ia mempunyai permintaan yang stabil dan gaya hidup pengguna di sini sesuai dengan penggunaan motosikal EV, terutama bagi perjalanan jarak dekat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap pembukaan cawangan GGR X EV Ipoh dapat menjadi pemangkin kepada pertumbuhan pasaran motosikal elektrik di negeri Perak serta menyumbang kepada agenda mobiliti hijau negara.
-- BERNAMA