PIAM Perkenal Langkah Interim Tangani Gangguan Perkhidmatan Trak Tunda
KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) memperkenalkan langkah-langkah interim untuk menyokong pemegang polisi kenderaan susulan gangguan dalam perkhidmatan trak tunda yang dikaitkan dengan peningkatan kos operasi dan tekanan industri.
Menurut persatuan itu, syarikat ahlinya telah mengaktifkan langkah-langkah untuk membantu pelanggan, terutamanya dalam situasi mendesak seperti kemalangan dan kerosakan kenderaan.
Langkah-langkah tersebut termasuklah mengutamakan bantuan kecemasan bagi pemandu yang terkandas dalam situasi berbahaya, menggalakkan penjadualan awal bagi penundaan tidak kritikal daripada lokasi selamat, memanfaatkan bengkel panel untuk membantu pemandu dan menawarkan bayaran balik bagi perkhidmatan trak tunda bebas tertakluk kepada terma dan syarat polisi.
PIAM memaklumkan walaupun gangguan dalam perkhidmatan trak tunda berpunca daripada faktor luaran yang di luar kawalan industri insurans am, namun ia tetap komited untuk menangani isu itu melalui pendekatan bersepadu.
“Industri ini akan bekerjasama dengan rakan penyedia perkhidmatan, pengawal selia, pihak berkuasa dan pihak berkepentingan utama kami untuk mengharungi tekanan ini dan mencari jalan penyelesaian yang mampan serta seimbang pada masa hadapan,” katanya.
PIAM turut menasihatkan pemegang polisi supaya menghubungi syarikat insurans mereka secara terus untuk mendapatkan maklumat terkini, mengesahkan perlindungan sebelum menggunakan perkhidmatan trak tunda bebas dan menyimpan semua resit dan laporan perkhidmatan bagi memudahkan tuntutan bayaran balik.
Langkah-langkah ini diumumkan susulan gangguan perkhidmatan trak tunda sejak semalam, apabila pengusaha melancarkan mogok selama tiga hari untuk mendesak pemberian subsidi diesel. Gangguan tersebut dijangka berterusan sehingga esok.
Zurich Takaful dalam satu notis memaklumkan Lembah Klang berkemungkinan menjadi antara kawasan yang paling terjejas dan berpotensi untuk merebak ke kawasan lain di Semenanjung Malaysia.
-- BERNAMA