Bursa Malaysia Terus Meningkat Pada Tengah Hari

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Bursa Malaysia meneruskan peningkatan pada tengah hari, menjejaki pasaran serantau yang lebih kukuh apabila sentimen bertambah baik didorong oleh pembelian berterusan dalam saham wajaran tinggi terpilih, diterajui oleh saham kewangan.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 11.67 mata atau 0.69 peratus kepada 1,692.19 daripada 1,680.52 semasa ditutup pada Isnin.

Indeks petunjuk pasaran dibuka meningkat 10.44 mata kepada 1,690.96, dan diniagakan antara 1.,686.06 dan 1,692.81 semasa sesi dagangan pagi.

Sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 576 berbanding 391 manakala 491 kaunter tidak berubah, 1,258 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan berjumlah 1.63 bilion saham bernilai RM1.28 bilion.

Di peringkat serantau, Indeks Straits Times Singapura naik 0.57 peratus kepada 5,012.65 mata, Indeks Hang Seng Hong Kong menambah 0.43 peratus kepada 25,770.40, Nikkei 225 Jepun melonjak 2.50 peratus kepada 57,916.42 dan KOSPI Korea Selatan menokok 3.59 peratus kepada 6,017.08.

Menurut Apex Securities Bhd, pasaran Malaysia dijangka diniagakan secara defensif dengan pelabur memantau perkembangan berkaitan aktiviti tentera laut Amerika Syarikat (AS), dilaporkan kini berada berhampiran Iran, Selat Hormuz serta ketegangan antara Israel dan Lubnan untuk melihat sebarang petanda peningkatan ketegangan yang lebih serius.

Dalam satu nota penyelidikan pada Selasa, Apex Securities memaklumkan bahawa minyak mentah Brent naik 4.37 peratus pada US$99.36 setong kerana kebimbangan konflik yang berpanjangan terus membebankan pasaran tenaga.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank menambah 14 sen kepada RM11.12, Public Bank meningkat enam sen kepada RM4.66, Tenaga Nasional melonjak 10 sen kepada RM14.28, CIMB menokok 15 sen kepada RM7.54 dan IHH Healthcare melonjak empat sen kepada RM8.75.

Bagi saham paling aktif, Velesto Energy susut 1.5 sen kepada 33 sen, manakala MMAG dan Bumi Armada tidak berubah masing-masing pada empat sen dan 40 sen, Zetrix AI melonjak satu sen kepada 77 sen dan VS Industry menokok setengah sen kepada 18.5 sen.

Kaunter paling untung menyaksikan Fraser & Neave naik 72 sen kepada RM29.90, Malaysian Pacific Industries meningkat 56 sen kepada RM30.46, Ajinomoto menokok 36 sen kepada RM12.50, Pentamaster menambah 30 sen kepada RM3.40 dan UMS Integrated menokok 29 sen kepada RM5.50.

Bagi kaunter paling rugi pula, Petronas Dagangan merosot 64 sen kepada RM20.66, Chin Teck Plantations berkurangan 36 sen kepada RM10.62, Kuala Lumpur Kepong susut 24 sen kepada RM21.60, PPB dan BLD Plantation pula merosot 20 sen masing-masing kepada RM11.76 dan RM14.80.

Di pasaran lebih luas, Indeks FBM Top 100 naik 87.38 mata kepada 12,266.45, Indeks FBM Emas meningkat 86.27 mata kepada 12,419.54, Indeks FBM Mid 70 menambah 135.39 mata kepada 17,322.24, Indeks FBM Emas Shariah menokok 44.90 mata kepada 12,311.96 dan Indeks FBM ACE melonjak 51.04 mata kepada 4,461.95.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 240.40 mata kepada 19,739.29, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.41 mata kepada 187.59 manakala Indeks Perladangan berkurangan 36.10 mata kepada 8,932.79 dan Indeks Tenaga turun 8.58 points kepada 823.12.

-- BERNAMA