BERITA TERKINI   Unit ITMAX System memperoleh Perubahan Kerja (VO) bernilai RM603.5 juta daripada Majlis Bandaraya Johor Bahru bagi meningkatkan keupayaan bandar pintar generasi baharu | Harga runcit RON95 & RON97 turun 25 sen, diesel Semenanjung turun 75 sen bagi 16-22 April - MOF | 

MISC Perkukuh Disiplin Kewangan Di Tengah-tengah Cabaran Geopolitik

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- MISC Bhd tekad untuk memberi keutamaan kepada pengurusan hutang yang berdisiplin, perancangan tunai proaktif dan pengoptimuman kos pembiayaan tahun ini bagi mendepani cabaran geopolitik semasa.

Ketua Pegawai Kewangannya Afendy Mohamed Ali berkata persekitaran kewangan pada 2026 dijangka dicirikan oleh ketidaktentuan kadar faedah yang berterusan, pemecahan geopolitik yang sedang berlaku serta keadaan pembiayaan yang berbeza-beza.

“Bagi tujuan ini, keutamaan kami adalah terhadap pengurusan hutang yang berdisiplin, perancangan tunai yang proaktif serta usaha berterusan mengoptimumkan kos pembiayaan selain memastikan kedudukan kami kekal dalam kriteria penarafan kredit yang ditetapkan,” kata beliau dalam Laporan Tahunan Bersepadu MISC 2025.

Beliau berkata, daripada perspektif operasi, asas perolehan syarikat terus berpaksikan kepada pendapatan kontrak dan berulang merentas segmen perniagaan teras dengan pendedahan terpilih kepada pasaran semerta.

“Perbelanjaan modal akan ditumpukan untuk projek sedia ada, pembaharuan kapal serta keutuhan aset apabila keputusan pembiayaan akan berteraskan keupayaan aliran tunai dan pengekalan tahap hutang yang mampan,” tambah beliau.

Jelasnya, syarikat akan terus memperkukuh tadbir urus kewangan, meningkatkan ketelusan terhadap faktor pemacu prestasi dan memantapkan ketepatan membuat keputusan di peringkat kumpulan.

“Disiplin ini meletakkan MISC dalam kedudukan yang kukuh untuk mengharungi ketidaktentuan jangka pendek selain membolehkan pelaksanaan strategi di bawah Aspirasi MISC 2030 serta penyampaian nilai jangka panjang yang mampan,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi MISC Datuk Abu Huraira Abu Yazid menyifatkan tahun ini sebagai tempoh yang penuh dengan ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan ekonomi sehingga memberi kesan kepada pasaran tenaga serta perkapalan dunia.

“Perubahan dalam dasar dan perdagangan telah mengubah haluan dagangan dunia serta corak perkapalan manakala evolusi rangka kerja maritim dan perubahan iklim menjadikan keputusan pelaburan semakin mencabar,” katanya.

Menurut beliau, di sebalik persekitaran yang mencabar itu, lembaga pengarah terus memantau rapat setiap perkembangan bagi memastikan segala risiko utama dikenal pasti serta dinilai secara berhati-hati.

“Pertimbangan-pertimbangan ini telah diterapkan ke dalam pilihan strategik kami termasuk keputusan mengenai peruntukan modal sepanjang tahun ini,” kata beliau.

Jelasnya, syarikat terus memberikan penekanan utama terhadap aspek keselamatan operasi serta pengurusan risiko.

 “Di sebalik peralihan laluan dagangan dan operasi yang kian mencabar, keselamatan warga pelaut dan kakitangan darat adalah amat penting.

“Aspek keselamatan, pematuhan peraturan dan disiplin operasi merupakan keutamaan yang tidak boleh dikompromi,” katanya.

Kumpulan MISC merupakan satu daripada penyedia penyelesaian dan perkhidmatan maritim berkaitan tenaga antarabangsa terkemuka di dunia.

-- BERNAMA