IPO AMS Advanced Material Terlebih Langgan 9.03 Kali Menjelang Penyenaraian ACE

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Tawaran awam permulaan (IPO) AMS Advanced Material Bhd terlebih langgan sebanyak 9.03 kali menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

Dalam satu pemfailan kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu memaklumkan sebanyak 8,110 permohonan diterima bagi 307.03 juta saham terbitan, berbanding 30.60 juta saham yang diperuntukkan kepada orang awam Malaysia.

Bahagian bumiputera menerima 3,034 permohonan bagi 60.96 juta saham, terlebih langgan sebanyak 2.98 kali, manakala bahagian awam selebihnya merekodkan 5,076 permohonan bagi 246.07 juta saham dengan kadar terlebih langgan 15.08 kali.

“Selain itu, 2.16 juta saham yang diperuntukkan kepada pengarah dan pekerja syarikat serta tawaran institusi telah dilanggan sepenuhnya,” menurut syarikat itu dalam kenyataan berasingan.

Pengarah Urusan AMS Advanced Material, Keh Teng Yang berkata kadar terlebih langganan itu mencerminkan keyakinan pelabur terhadap asas perniagaan serta prospek industri syarikat berkenaan.

“Selain itu, kami turut menarik penyertaan tujuh dana institusi bagi penempatan saham ini.

“Menjelang penyenaraian di Pasaran ACE pada 23 April, kami akan terus memberi tumpuan kepada operasi perniagaan serta usaha menjana pertumbuhan mampan untuk pemegang kepentingan,” katanya.

M&A Securities Sdn Bhd merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin serta ejen penempatan bagi pelaksanaan IPO berkenaan.

-- BERNAMA