5E Resources Sasar Pertumbuhan Daripada Pelaksanaan Biodiesel B15
KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Penyedia perkhidmatan pengurusan sisa, 5E Resources Holdings Bhd bersedia untuk memanfaatkan langkah kerajaan untuk menaikkan kadar campuran biodiesel kepada B15 dengan menjangkakan peningkatan penjanaan sisa daripada industri biodiesel untuk menyokong pertumbuhannya.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Lim Te Hua berkata pengembangan kumpulan itu di Johor Bahru, dijadualkan memulakan operasi pada separuh kedua 2026 akan membolehkannya mengendalikan bahagian sisa lebih besar daripada pelanggan.
Beliau berkata kumpulan itu kini hanya menguruskan 20 peratus sisa daripada seorang pelanggan industri biodiesel di Tanjung Langsat, Johor Bahru disebabkan oleh kekangan kuota.
“Menerusi kemudahan PLO 321 kami di Johor diharapkan 5E Resources dapat mengendalikan lebih banyak lagi. Disebabkan oleh had kuota, kami kini mengambil kira-kira 200 tan metrik daripada jumlah keseluruhannya.
“Dengan kemudahan baharu ini, ia boleh meningkat kepada 50 peratus daripada 20 peratus semasa,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyenaraian kumpulan itu di Pasaran ACE di sini hari ini.
5E Resources memulakan dagangannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada harga 28.5 sen, premium 2.5 sen berbanding harga tawaran awam permulaannya iaitu 26 sen dengan 36.22 juta saham diniagakan.
Semalam, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir mengumumkan bahawa kerajaan telah bersetuju untuk menaikkan kadar campuran biodiesel daripada B10 kepada B15 bagi membantu mengekalkan bekalan diesel Malaysia susulan krisis di Asia Barat.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Shankar Narasingam berkata langkah kerajaan untuk menyemak semula pelaksanaan cukai karbon merupakan perkembangan positif untuk industri itu.
“Pertimbangan kredit karbon memberi manfaat kepada industri kerana syarikat seperti 5E Resources boleh menjana penjimatan kredit karbon, ia boleh diagihkan kepada syarikat lain yang tidak terlibat dalam amalan penjimatan karbon sedemikian, mewujudkan platform sumber dan pendapatan,” katanya.
Beliau berkata kumpulan itu tidak bergantung kepada bahan api fosil kerana ia menggunakan bahan api kitar semula dalam proses rawatannya, menghasilkan penjimatan kredit karbon yang ketara.
Penjanaan bersama bekalan kuasa merupakan satu lagi sumber kredit karbon untuk kumpulan itu dan menjangkakan kemudahan pengembangan baharunya di Johor Bahru akan menyumbang secara positif kepada tahun kewangan 2026, katanya.
Kaunter itu ditutup tinggi hari ini apabila meningkat satu sen kepada 27 sen, dengan 30.51 juta saham bertukar tangan.
-- BERNAMA