Weeroc Space Catat Kejayaan Fasa Akhir Reka Bentuk Cip, Lonjak Keupayaan Malaysia
KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Weeroc Space Sdn Bhd, cabang aeroangkasa milik firma Weeroc Perancis, berjaya melakar kejayaan bagi fasa “tapeout” yang menjadi tahap penting reka bentuk cip sebelum ke peringkat pembuatan dalam sektor semikonduktor.
Fasa itu merujuk peringkat akhir reka bentuk itu diperhalusi sebelum dihantar bagi tujuan fabrikasi dan seterusnya pengeluaran dan pengkomersialan.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Teknologi Weeroc Dr Salleh Ahmad menyifatkan pencapaian itu sebagai kejayaan penting untuk syarikat semikonduktor tanpa kilang dan menandakan penyempurnaan proses reka bentuk dan pengesahan yang ketat.
“Ini menandakan fasa reka bentuk cip itu telah selesai apabila pelan induk itu dihantar ke lokasi bagi fabrikasi.
“Pencapaian itu adalah sasaran syarikat semikonduktor tanpa kilang kerana memaparkan kemuncak segala usaha reka bentuk yang ekstensif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Salleh berkata cip yang dihasilkan itu seterusnya menjalani peringkat pengujian dan pencirian sebelum diintegrasikan dalam produk syarikat.
“Ini sememangnya signifikan memandangkan hanya segelintir syarikat dapat melakukan proses ini bagi produk masing-masing. Kami adalah antara segelintir syarikat yang mempunyai kemampuan itu,” katanya.
Beliau menyifatkan pencapaian itu tidak hanya memaparkan keupayaan kejuruteraan syarikat berkenaan, tetapi turut memperkukuh kedudukan komersial selain membolehkan libat urus lebih yakin dengan pelanggan selain mempercepat pengenalan produk baharu ke dalam pasaran.
Bagi Malaysia, pencapaian sedemikian turut membuktikan pengembangan keupayaan, tidak hanya dalam aspek pengeluaran tetapi reka bentuk serta pembangunan teknologi semikonduktor yang maju.
Weeroc Space, sebuah inovator semikonduktor disokong oleh Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC) Malaysia, juga menganggap pencapaian berkenaan menjadi petanda kematangan ekosistem semikonduktor negara ini.
Menurut syarikat itu, kemampuan lebih banyak syarikat mencapai tahap pembangunan maju itu turut memaparkan pengukuhan perancangan inovasi, kepakaran teknikal dan daya saing global.
-- BERNAMA