MTDC Sasar 10 Syarikat Semikonduktor Terbaik Sertai SemiconStart Malaysia
KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) menyasarkan untuk mengenal pasti 10 syarikat semikonduktor terbaik bagi menyertai tahun pertama program SemiconStart Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MTDC Mohammad Hazani Hassan berkata pihaknya tidak dapat melibatkan jumlah lebih besar pada masa ini berikutan inisiatif berkenaan dilaksanakan secara rintis.
“Bagaimanapun, kami menyasarkan tiga hingga lima syarikat daripada 10 yang dikenal pasti itu untuk proses seterusnya bagi mendapat dana, pelanggan dan terbabit dalam rangkaian berkenaan.
“Adalah diharapkan pada akhirnya, akan ada ada syarikat Malaysia yang fokus kepada produk dengan teknologi dan bakat tempatan untuk bekerja bersama syarikat antarabangsa. Kami menyasarkan syarikat terbabit adalah syarikat produk dan bukan perkhidmatan,” katanya pada sidang media bersempena majlis prapelancaran SemiconStart Malaysia di World Trade Centre (WTC) hari ini.
Mohammad Hazani berkata syarikat menumpukan produk itu dijangka menyumbang secara bermakna selain memperkukuh ekosistem semikonduktor secara meluas.
MTDC dalam proses pemilihan syarikat merangkumi tahap ketersediaan teknologi (TRL) 4 hingga TRL 9 dengan matlamat selepas setahun, syarikat berkenaan dapat mempunyai produk sedia pasaran untuk diperkenalkan kepada pelanggan, rakan kongsi dan pelabur.
Terdahulu, majlis prapelancaran SemiconStart Malaysia itu telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohammad Yusof Apdal.
Program itu dilaksanakan oleh MTDC dengan kerjasama Silicon Catalyst United Kingdom (UK) menerusi fasa inkubasi selama 260 hari yang menyediakan syarikat menyertainya dengan akses kepada geran sehingga RM1 juta bagi setiap syarikat, peralatan reka bentuk termaju, bimbingan industri dan rangkaian pelabur global.
Selain aspek pembiayaan, syarikat-syarikat itu akan melalui penilaian teknikal dan komersial ketat yang diselaraskan oleh pasukan Silicon Catalyst dari UK dan Amerika Syarikat.
Bidang tumpuan termasuk reka bentuk litar bersepadu (IC) atau mikrocip, teknologi penderia, fotonik, Sistem Mikro Elektro Mekanikal (MEMS), teknologi kuantum dan bahan semikonduktor termaju yang kesemuanya dikenal pasti sebagai segmen strategik bernilai tinggi di bawah Strategi Semikonduktor Nasional (NSS).
Pada pembentangan Belanjawan 2026, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) akan melabur RM550 juta dalam ekosistem semikonduktor bagi memperkukuh kerjasama antara syarikat tempatan dan syarikat multinasional.
Selain itu di bawah NSS, Bank Pembangunan Malaysia Bhd akan menyediakan pinjaman RM500 juta bagi menyokong aktiviti dengan nilai tambah tinggi seperti penyelidikan dan pembangunan, terutama syarikat tempatan yang menyokong ekosistem elektrikal dan elektronik.
— BERNAMA