Bursa Malaysia Kembali Kukuh Susulan Harapan Ketegangan AS-Iran Semakin Reda
Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Bursa Malaysia kembali mengukuh selepas penurunan awal untuk ditutup tinggi pada Khamis, disokong persekitaran global yang lebih stabil susulan peningkatan harapan terhadap penyelesaian ketegangan antara Amerika Syarikat dan Iran menerusi rundingan semula.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 6.29 mata, atau 0.37 peratus, kepada 1,689.71 berbanding paras 1,683.42 ketika ditutup pada Rabu.
Indeks penanda aras itu dibuka 1.44 mata lebih tinggi pada 1,684.86 dan bergerak dalam julat 1,682.81 hingga 1,690.83 sepanjang dagangan.
Sentimen pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 753 berbanding 486, manakala 531 kaunter tidak berubah, 961 tidak diniagakan dan 23 digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 3.77 bilion unit bernilai RM3.46 bilion berbanding 3.33 bilion unit bernilai RM3.02 bilion pada Rabu.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI ditutup tinggi, disokong sentimen yang bertambah baik susulan harapan terhadap penyelesaian ketegangan AS-Iran melalui rundingan semula.
Beliau berkata indeks serantau turut mencatat aliran meningkat, dipacu prestasi kukuh Wall Street yang mencatat paras tertinggi rekod serta data ekonomi China yang lebih baik daripada jangkaan, dengan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku pertama 2026 pada 5.0 peratus tahun ke tahun.
“Kami kekal positif terhadap perkembangan terkini di Asia Barat, namun pelabur disaran kekal berhati-hati memandangkan situasi masih tidak menentu dan boleh berubah secara mendadak.
“Bagaimanapun, kesinambungan momentum kenaikan ini bergantung kepada pengesahan yang lebih meyakinkan terhadap penurunan ketegangan selanjutnya, dengan pelabur dijangka kekal selektif, dengan memberi tumpuan kepada sektor berasas kukuh serta mengelakkan pendedahan risiko secara agresif," katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan IHH Healthcare masing-masing tidak berubah pada RM11.06 dan RM8.70, Public Bank naik enam sen kepada RM4.66 dan Tenaga Nasional menambah lapan sen kepada RM14.22, manakala CIMB susut lima sen kepada RM7.45.
Bagi kaunter paling aktif, Borneo Oil, MMAG dan VS Industry masing-masing tidak berubah pada setengah sen, 3.5 sen dan 19.5 sen, Zetrix AI meningkat 3.5 sen kepada 82.5 sen, manakala Golden Destinations yang baru disenaraikan di Pasaran ACE susut lima sen kepada 40 sen.
Antara kaunter untung utama, Malaysian Pacific Industries meningkat 98 sen kepada RM33.98, Fraser and Neave naik 58 sen kepada RM30.68, United Plantations bertambah 56 sen kepada RM33.56, UMS Integration melonjak 40 sen kepada RM5.90 dan Lifewater meningkat 34 sen kepada RM1.48.
Bagi kaunter rugi utama, Kuala Lumpur Kepong susut 42 sen kepada RM21.08, PPB Group turun 18 sen kepada RM11.54, Gas Malaysia berkurangan 14 sen kepada RM5.38, Ajinomoto merosot 12 sen kepada RM12.54 dan Negeri Sembilan Oil Palms susut 10 sen kepada RM5.75.
Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 meningkat 58.48 mata kepada 12,306.82, manakala Indeks FBM Emas naik 62.36 mata kepada 12,471.62 dan Indeks FBM Mid 70 melonjak 138.40 mata kepada 17,641.67.
Indeks FBM Emas Shariah menokok 74.77 mata kepada 12,406.84, sementara Indeks FBM ACE menambah 36.29 mata kepada 4,546.28.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 67.47 mata kepada 19,715.86 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.51 mata kepada 188.10, manakala Indeks Perladangan susut 2.96 mata kepada 8,899.67 dan Indeks Tenaga merosot 6.79 mata kepada 817.22.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 2.08 bilion unit bernilai RM3.12 bilion berbanding 1.68 bilion unit bernilai RM2.70 bilion pada Selasa.
Jumlah dagangan waran turut meningkat kepada 1.06 bilion unit bernilai RM134.44 juta daripada 813.08 juta unit bernilai RM94.77 juta semalam.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE bagaimanapun susut kepada 633.28 juta unit bernilai RM201.72 juta berbanding 834.19 juta unit bernilai RM232.27 juta sebelumnya.
Mengikut sektor, kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 216.47 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, diikuti produk dan perkhidmatan perindustrian (524.42 juta), pembinaan (178.16 juta), teknologi (400.47 juta), perkhidmatan kewangan (109.87 juta), hartanah (153.22 juta), perladangan (47.46 juta), amanah pelaburan hartanah (11.02 juta), dana tertutup (74,900), tenaga (186.15 juta), penjagaan kesihatan (128.09 juta), telekomunikasi dan media (69.05 juta), pengangkutan dan logistik (22.33 juta), utiliti (31.03 juta) serta amanah perniagaan (643,600).
-- BERNAMA