Sektor O&G Kekal Berdaya Tahan Meskipun Penurunan Unjuran Prospek Minyak 2026 IEA
KUALA LUMPUR,17 April (Bernama) -- Sektor minyak dan gas kekal positif meskipun Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) menyemak turun secara ketara unjuran permintaan minyak bagi 2026 daripada pertumbuhan 730,000 tong sehari kepada 80,000 tong sehari.
Penguncupan ini sekali gus mencerminkan gangguan bekalan terbesar dalam sejarah, menurut MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB).
Bank pelaburan itu berkata harga minyak yang kekal tinggi serta kekurangan bekalan yang berterusan terus menekan permintaan hiliran, dengan sektor petrokimia mengalami penyusutan ketara didorong tekanan kemampuan dan kekurangan bahan mentah.
“Pengeluar petrokimia di Asia telah mengurangkan kadar operasi berikutan akses terhad kepada nafta dan gas petroleum cecair (LPG).
"Ini sekali gus mengakibatkan peralihan struktur daripada lebihan bekalan kepada pasaran yang lebih terhad dan dipacu risiko berikutan kekurangan bekalan fizikal,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Bank itu berkata beberapa syarikat petrokimia utama telah mengisytiharkan 'force majeure', mencerminkan gangguan terhadap model rantaian bekalan ‘just-in-time’ tradisional.
Pengeluar di Korea Selatan, Singapura dan Indonesia dilihat paling terjejas kerana kekurangan bekalan minyak mentah domestik untuk memenuhi permintaan industri, selain bergantung tinggi kepada bahan mentah import.
Menurut MBSB IB, berbanding kebanyakan rakan serantau di Asia, Petronas Chemicals Group Bhd berada dalam kedudukan lebih terlindung disebabkan asas sumber semula jadi domestik Malaysia.
Kelebihan daya saing utamanya terletak pada kebergantungan tinggi terhadap gas asli yang menjadi tunjang operasi. Justeru, harga saham Petronas Chemicals menunjukkan daya tahan yang ketara sepanjang krisis ini, disokong akses yang lebih terjamin kepada bahan mentah domestik.
“Sehubungan itu, kami mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas Petronas Chemicals dengan harga sasaran RM6.60,” kata bank pelaburan itu.
-- BERNAMA