Niaga Hadapan KLCI Dijangka Diniagakan Dalam Jajaran Kecil Minggu Depan
Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dalam jajaran kecil minggu depan dengan kecenderungan aliran meningkat, disokong oleh sentimen global yang lebih baik dan kebimbangan geopolitik yang mereda.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks petunjuk pasaran tempatan dijangka diniagakan dalam julat 1,680 hingga 1,710, dengan paras 1,680 menyediakan sokongan jangka pendek.
“Aliran meningkat boleh didorong oleh aktiviti belian saham pada harga rendah yang berterusan dan perkembangan positif dalam rundingan damai walaupun kenaikan dijangka secara berperingkat berdasarkan ketidaktentuan yang berpanjangan,” katanya kepada Bernama.
Bagi minggu baru berakhir, kontrak niaga hadapan menyaksikan dagangan dalam jajaran kecil pada sepanjang minggu tersebut sejajar dengan pasaran tunai.
Thong berkata pada minggu ini, FBM KLCI berada pada paras 1,690, dengan minat belian dilihat pada ketika harga rendah terutamanya dalam saham wajaran tinggi terpilih dan sektor bersifat defensif.
Bagaimanapun, katanya penyertaan pasaran secara keseluruhannya kekal sederhana, dengan aliran dana asing bercampur-campur selepas pembelian awal.
Pada asas Jumaat kepada Jumaat, kontrak April 2026 meningkat 3.0 mata kepada 1,688.50, Mei 2026 naik 2.5 mata kepada 1,689.0, Jun 2026 menokok 1.5 mata kepada 1,688.5 dan September 2026 menambah 4.0 mata kepada 1,669.5
Jumlah dagangan mingguan naik kepada 36,256 lot daripada 32,544 lot minggu lepas manakala kepentingan terbuka menurun kepada 38,257 kontrak daripada 38,759 kontrak minggu lepas.
Pada asas Jumaat kepada Jumaat, FBM KLCI meningkat 3.90 mata kepada 1,695.21 daripada 1,691.31 minggu lepas.
-- BERNAMA