BERITA TERKINI   Pihak yang kaut keuntungan melalui aktiviti seludup, seleweng bahan api akan berdepan tindakan tegas - TPM Fadillah | 102,144 liter diesel dan 23,907 liter petrol dirampas sepanjang penguatkuasaan Ops Tiris 4.0 di Sabah dan Labuan - Fadillah | 320 kes pelanggaran undang-undang direkod sepanjang tempoh Ops Tiris 4.0 Bersepadu - TPM Fadillah | Ringgit Malaysia mata wang berprestasi terbaik di Asia dua tahun berturut-turut, jadi kebanggaan rakyat Malaysia - Fahmi | MCMC terima 203,918 permohonan orang awam minta platform media sosial turunkan kandungan, 91 peratus berkaitan judi dan penipuan - Fahmi | 

Pasaran Getah Dijangka Lengang Dengan Cenderung Mendatar Dan Rendah Minggu Depan

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi

KUALA LUMPUR, 18 April  (Bernama) -- Pasaran getah dijangka lengang dengan cenderung untuk bergerak mendatar dan lebih rendah pada minggu hadapan, kata pakar industri Denis Low.

Low berkata ketegangan geopolitik yang berterusan kekal menjadi faktor penghalang utama terhadap sentimen kerana ketidaktentuan berhubung gencatan senjata boleh memanjangkan konflik dan menjejaskan permintaan global.

Beliau berkata walaupun keadaan bekalan adalah bercampur-campur, musim luruh daun di beberapa wilayah pengeluar getah adalah lebih teruk dan dijangka berterusan sehingga pertengahan sampai kepada akhir Mei, walaupun kawasan tertentu sudah mula menyaksikan hasil susu getah yang bertambah baik.

"Secara umumnya, berdasarkan pergerakan harga kedua-dua getah basah dan kering, dapat dilihat permintaan terhadap getah kering bergerak mengikut rentaknya sendiri dan tidak banyak turun naik yang dijangkakan," tambah beliau.

Low berkata permintaan terhadap susu getah telah mengukuh, dipacu oleh pengeluar sarung tangan yang beralih daripada getah sintetik kepada getah asli berikutan bekalan bahan mentah yang lebih terhad seperti nafta dan butadiena.

Sementara itu, Pertubuhan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) menyatakan pasaran getah mungkin diniagakan lebih tinggi minggu depan, disokong oleh permintaan yang lebih kukuh terhadap susu getah asli.

"Kekurangan bekalan getah nitril butadiena (NBR) pada masa ini memacu permintaan terhadap susu getah asli sebagai alternatif yang berdaya maju," tambahnya.

Bagaimanapun, MARGMA memaklumkan harga getah akan terus menjejaki pasaran niaga hadapan serantau dan prestasi ringgit, manakala ketegangan geopolitik di Asia Barat kekal sebagai risiko utama.

"Konflik itu telah memberi kesan ketara kepada rantaian bekalan industri sarung tangan, melibatkan ketersediaan bahan mentah, peningkatan caj bahan api dan kos penghantaran dan insurans yang lebih tinggi," tambahnya.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Getah Mutu Malaysia  (GMM) 20 susut 19.5 sen kepada 803.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal meningkat 8.5 sen kepada 768 sen sekilogram.

-- BERNAMA