BERITA TERKINI   Gempa bumi 7.5 magnitud di Jepun: Loji nuklear Fukushima Daiichi, Daini tidak melaporkan sebarang keabnormalan - Kyodo | Gempa bumi 7.5 magnitud di Jepun: Loji nuklear Fukushima Daiichi, Daini tidak melaporkan sebarang keabnormalan - Kyodo | Jepun gantung perkhidmatan kereta api laju Tokyo-Aomori susulan gempa bumi 7.5 magnitud - lapor Kyodo | Magnitud gempa bumi di Jepun disemak semula kepada 7.5; tsunami dikesan di luar pesisir Iwate dan Aomori di Lautan Pasifik - lapor Kyodo | Gempa bumi kuat berukuran 7.4 magnitud landa luar pesisir timur laut dan utara Jepun pada Isnin, amaran tsunami dikeluarkan, lapor media | 

SC, Bursa Malaysia Perkenal Program My Value Up Perkasa Nilai Jangka Panjang PLC

KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) -- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia hari ini melancarkan Program MY Value Up, satu inisiatif kerjasama bagi menyokong syarikat tersenarai awam (PLC) tempatan meningkatkan penciptaan nilai jangka panjang serta memperkukuh daya tarikan sebagai destinasi pelaburan global.

Dalam kenyataan bersama, kedua-dua pihak memaklumkan MY Value Up selaras dengan Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 dan mencerminkan komitmen SC serta Bursa Malaysia dalam membentuk landskap korporat yang lebih dinamik.

Program itu antara lain bertujuan menggalakkan PLC mengamalkan pendekatan lebih strategik dan proaktif dalam menyampaikan naratif pertumbuhan masing-masing.

“Dengan menggalakkan syarikat memperincikan serta mendedahkan strategi jangka sederhana hingga panjang, MY Value Up membantu PLC menzahirkan aspirasi korporat yang lebih kukuh serta memudah cara penglibatan lebih bermakna dengan pelabur domestik dan serantau,” menurut kenyataan itu.

Inisiatif berkenaan turut mendorong pendedahan maklumat yang lebih telus dan berpandangan ke hadapan, sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur serta menyokong keputusan peruntukan modal yang lebih tepat.

Bagi memastikan pelaksanaan program yang berkesan, sebuah buku panduan yang memperincikan jangkaan di bawah MY Value Up akan diterbitkan menjelang separuh pertama tahun ini.

Sebanyak 88 PLC dipilih menyertai program itu yang secara kolektif merangkumi 80 peratus daripada permodalan pasaran syarikat tersenarai di Bursa Malaysia, dengan setiap satu mempunyai permodalan pasaran minimum kira-kira RM4 bilion.

Pengerusi SC Mohammad Faiz Azmi berkata Pelan Induk baharu itu menetapkan visi berani ke arah pasaran modal yang lebih dinamik dan berdaya saing.

“Matlamat kami adalah untuk beralih daripada budaya pematuhan semata-mata kepada budaya penciptaan nilai secara aktif. Ini masa yang sesuai untuk PLC utama memperluas perspektif dan menanda aras prestasi mereka bukan sahaja di peringkat domestik, malah serantau dan global,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Fad’l Mohamed berkata inisiatif itu akhirnya akan menyokong proses penentuan harga yang lebih berkesan serta menyumbang kepada pasaran modal yang lebih rancak, yang mengiktiraf dan menghargai nilai korporat jangka panjang.

-- BERNAMA