​​​​​​​MRC Muktamadkan Perolehan Bukit Jalil Sentral Property Bernilai RM1.58 Bilion

KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) -- Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) telah menyelesaikan cadangan pemerolehan Bukit Jalil Sentral Property Sdn Bhd (BJSP) selepas melunaskan baki pertimbangan pembelian berjumlah RM1.42 bilion secara tunai.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, MRCB memaklumkan anak syarikat tidak langsungnya, Rukun Juang Sdn Bhd (RJSB), telah membayar baki tersebut serta melunaskan sepenuhnya pendahuluan pemegang saham berjumlah RM69.21 juta.

“Bagi pihak MRCB, AmInvestment Bank ingin mengumumkan bahawa RJSB pada 20 April 2026 telah membayar baki pertimbangan pembelian bagi cadangan pemerolehan itu berjumlah RM1.42 bilion secara tunai kepada vendor serta melunaskan sepenuhnya pendahuluan pemegang saham sebanyak RM69.21 juta bagi pihak BJSP.

“Sehubungan itu, cadangan pemerolehan berkenaan telah disempurnakan selaras dengan terma perjanjian jual beli saham pada 20 April 2026, dan BJSP kini menjadi anak syarikat milik penuh tidak langsung MRCB,” menurut kenyataan itu.

Pemerolehan yang diumumkan pada 8 Sept 2025 itu melibatkan pengambilalihan 80 peratus kepentingan ekuiti dalam BJSP serta 1.13 bilion saham keutamaan boleh tebus dalam syarikat berkenaan daripada Tanjung Wibawa Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dengan jumlah pertimbangan pembelian RM1.58 bilion secara tunai.

BJSP yang terlibat dalam pembangunan dan pelaburan hartanah memiliki tiga bidang tanah komersial pegangan pajak di Bukit Jalil, Kuala Lumpur yang diperuntukkan bagi pembangunan masa hadapan.

Pemerolehan itu membolehkan MRCB mengambil alih sepenuhnya kawalan pembangunan tanah di Bukit Jalil yang kini sedang dinilai bagi potensi projek, termasuk pembangunan pusat data, tertakluk kepada kajian kebolehlaksanaan dan kelulusan pihak berkuasa.

-- BERNAMA