Malaysia Disaran Terus Proaktif Pastikan Selat Melaka Kekal Bebas Daripada Ketegangan Geopolitik
KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Malaysia disaran terus proaktif bagi memastikan Selat Melaka kekal bebas daripada sebarang ketegangan geopolitik, memandangkan kepentingannya sebagai antara laluan perdagangan dan tenaga global yang kritikal.
Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Maritim Universiti Malaysia Terengganu Dr Izyan Munirah Muhammad Zaidin berkata ini berikutan selat berkenaan merupakan antara laluan perkapalan paling sibuk di dunia.
“Selat Melaka ialah antara selat tersibuk di dunia, kedua selepas Selat Inggeris, dengan pergerakan hampir 94,000 kapal setahun atau purata lebih 200 kapal sehari.
“Jika dibandingkan dengan Selat Hormuz, aktiviti perdagangan di Selat Melaka adalah adalah empat kali ganda lebih tinggi,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV hari ini.
Beliau berkata laluan strategik itu diuruskan secara bersama oleh Malaysia, Indonesia dan Singapura sebagai negara pesisir, dengan pelbagai mekanisme kerjasama dilaksanakan bagi memastikan keselamatan serta kelancaran pelayaran.
Izyan berkata kerjasama itu turut melibatkan negara pengguna laluan, termasuk dari segi pembiayaan dan perkongsian kepakaran bagi memastikan operasi di laluan berkenaan kekal selamat.
Sehingga awal 2026, Selat Melaka kekal sebagai laluan sempit utama bagi perdagangan minyak dan kontena global, mengendalikan kira-kira 23.2 juta tong minyak sehari atau sekitar 29 peratus daripada aliran minyak maritim dunia.
Laluan ini juga mengendalikan kira-kira 40 peratus perdagangan global, termasuk sebahagian besar aliran minyak dari Timur Tengah ke ekonomi utama Asia seperti China, Jepun dan Korea Selatan.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata Selat Melaka perlu terus dipelihara sebagai laluan yang selamat, terbuka dan stabil untuk navigasi antarabangsa, khususnya dalam menyokong kelangsungan perdagangan dan pergerakan tenaga global.
Mengulas lanjut, Izyan berkata berkata perkembangan geopolitik semasa turut membuka ruang kepada negara untuk mempercepat agenda peralihan tenaga hijau.
Katanya, kerajaan telah mengambil langkah awal menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), yang kini memasuki fasa kedua melibatkan pelaksanaan dan penguatkuasaan dasar.
“Matlamat utama NETR ialah mencapai sifar bersih menjelang 2050 dan situasi semasa sebenarnya boleh menjadi peluang untuk mempercepatkan pelaksanaan dasar ini,” kata beliau.
Selain itu, sektor maritim negara juga dilihat semakin bersedia ke arah peralihan hijau melalui inisiatif perkapalan hijau, termasuk penggunaan tenaga alternatif, pendigitalan dan elektrifikasi di pelabuhan utama seperti Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Klang.
“Perkembangan ini perlu dilihat sebagai pemangkin kepada peralihan ke arah penggunaan tenaga alternatif atau tenaga hijau,” katanya.
-- BERNAMA