ASEAN Perlu Bertindak Sebagai 'Pihak Tengah Yang Diperlukan' Dalam Sistem Global Masa Kini

KUALA LUMPUR, 21 April  (Bernama) -- ASEAN perlu meletakkan dirinya sebagai "pihak tengah yang amat diperlukan" dalam sistem global yang berpecah-belah, sambil mempercepatkan integrasi serantau dan memperkukuh asas ekonominya supaya terus berdaya saing di sebalik ketidaktentuan global yang memuncak.

Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong berkata ketika senario dunia semakin berpecah di antara kuasa-kuasa besar, ASEAN berada pada kedudukan penting dalam rantaian bekalan global yang tidak boleh digantikan dengan mudah.

"Dalam dunia yang terbahagi antara China dan Amerika Syarikat (AS), ASEAN dalam banyak aspek merupakan pihak tengah yang amat diperlukan," kata beliau dalam ucaptama di Seminar Tinjauan Ekonomi Serantau Suruhanjaya Sekuriti (SC)-AMRO: ASEAN di Persimpangan Jalan di sini hari ini.

Liew berkata rantaian bekalan global tetap sukar ditandingi di luar China, dengan negara-negara seperti Malaysia, Singapura dan Vietnam membentuk pusat utama dalam kepelbagaian pengeluaran dan aliran pelaburan yang berterusan.

Beliau berkata ASEAN juga perlu bergerak melangkaui peranan tradisionalnya sebagai tuan rumah kepada syarikat multinasional asing dan sebaliknya mula membangunkan perusahaan rentas sempadan miliknya sendiri.

"Bukan sekadar menganggap diri kita sebagai pemberi khidmat kepada syarikat multinasional, tetapi untuk membayangkan bahawa pada tahun-tahun mendatang, akan wujud syarikat multinasional milik ASEAN sendiri," kata beliau.

Mengenai penyelarasan serantau, beliau menekankan ASEAN tidak seharusnya melihat negara anggotanya sebagai pesaing antara satu sama lain, khususnya dalam sektor strategik seperti semikonduktor.

Beliau berkata integrasi yang lebih erat di seluruh ASEAN adalah sangat penting untuk memperkukuh daya tahan kolektif rantau ini, terutamanya ketika risiko global beralih daripada kebimbangan dari segi permintaan kepada gangguan dari segi penawaran.

Pada masa yang sama, Liew menegaskan keperluan untuk memperkukuh permintaan domestik di rantau ini, sambil menekankan pembinaan asas golongan kelas menengah yang kuat akan menjadi kunci utama untuk mengekalkan pertumbuhan jangka panjang.

"Terdapat empat bidang utama yang memerlukan penyelarasan serantau yang lebih kukuh, iaitu daya tahan rantaian bekalan, keselamatan tenaga, sekuriti makanan dan pelaburan serta pembangunan teknologi.

"Bidang-bidang ini memerlukan banyak usaha kolektif," katanya sambil menambah penggemblengan modal dan pengukuhan rangka kerja serantau adalah sangat penting untuk menyokong pembangunan jangka panjang ASEAN.

– BERNAMA