BERITA TERKINI   Kementerian Komunikasi akan kemuka cadangan ke Kabinet untuk bantuan tambahan penganjur acara susulan lanjutan TMM2026 - Fahmi | TMM 2026: DBKL turunkan kadar deposit cagaran untuk aktiviti konsert, pertunjukan pentas dan kebudayaan - Hannah | Kerajaan tumpu penyesuaian dasar, urus tekanan kos, jamin bekalan dan keperluan asas dalam menangani krisis bekalan global - Akmal Nasrullah | Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 3.9490/9530 berbanding dolar AS daripada 3.9515/9555 pada Isnin | Malaysia kini pada fasa pengurusan tekanan yang berpanjangan, bukan lagi fasa pengurusan kejutan awal - Akmal Nasrullah | 

SAMENTA Lancar Pensijilan Ekonomi Kitaran Pertama ASEAN Bagi PKS

KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) pada Selasa melancarkan Pensijilan Ekonomi Kitaran ASEAN (CEC) yang pertama seumpamanya di rantau ini bagi membantu kalangan perusahaan itu atau PKS menerimaguna amalan perniagaan mampan selain memacu daya saing.

Presiden Datuk William Ng berkata pensijilan itu menjadi langkah penting dalam memacu anjakan peralihan daripada model tradisional kepada pendekatan ekonomi kitaran dalam kalangan PKS.

Beliau berkata inisiatif itu dibangunkan menerusi usaha di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 dan menekankan aspek meningkatkan skala perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta menerimaguna amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus.

Menurutnya, ini penting berikutan negara kini dalam krisis bekalan global yang melonjakkan kos serta memberi tekanan terhadap rantaian bekalan.

“(Sehubungan itu), ekonomi kitaran bukan lagi pilihan tetapi menjadi keperluan ekonomi yang strategik,” katanya pada majlis pelancaran itu di sini, hari ini.

Perasmian program pensijilan berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong.

Pada majlis sama, sebanyak 20 PKS menerima pensijilan CEC berkenaan, sekali gus menjadi perintis dalam memajukan amalan perniagaan mampan di Malaysia.

Menjelaskan selanjutnya, Ng berkata ekonomi kitaran global diunjur mencecah US$578 billion (US$1=RM3.94) menjelang akhir 2026, malah berpotensi mencapai sehingga US$4.5 trilion dari segi output ekonomi menjelang 2030.

Bagi PKS, katanya, langkah menerimaguna prinsip-prinsip ekonomi kitaran dapat mengurangkan kebergantungan terhadap sumber terhad, intensiti tenaga lebih rendah selain melindungi perniagaan daripada harga komoditi yang tidak menentu.

Pensijilan CEC yang dibangunkan menerusi sokongan daripada Inisiatif Pelaporan Global itu menyediakan kerangka berstuktur dan sejajar dengan piawaian antarabangsa untuk membantu PKS meminimumkan sisa dan meningkatkan kecekapan sumber.

Program itu juga, kata Ng, akan diperluas ke serata rantau itu menerusi Kaukus PKS ASEAN yang bertujuan mengharmonikan piawaian mampan bagi kira-kira 70 juta PKS di Asia Tenggara.

“CEC juga menjadi mekanisme penting untuk kalangan PKS mengendalikan peraturan tanggungjawab pengeluar dipertingkat yang akan datang. Peraturan ini akan memastkan pengeluar bertanggungjawab terhadap keseluruhan kitaran hayat produk masing-masing,” katanya.

Langkah penerimagunaan awal akan membolehkan PKS melakukan reka bentuk semula produk, mewujudkan sistem data sisa selain meneroka aliran nilai baharu dengan menjadikan sisa sebagai bahan mentah.

Ng berkata SAMENTA berhasrat untuk membawa 15,000 PKS menyertai ekonomi kitaran dalam tempoh tiga tahun akan datang yang dijangka menjana lebih RM3 bilion hasil tambahan serta penjimatan kos.

“Bagi menyokong perjalanan ini, pada hari ini kita turut memuktamadkan satu memorandum persefahaman dengan Malaysian Industrial Development Finance Bhd dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd dalam memastikan PKS yang diiktiraf ini mendapat akses kepada pembiayaan hijau serta kadar faedah bersubsidi daripada serendah empat peratus untuk memacu usaha peralihan hijau,” katanya.

-- BERNAMA