BERITA TERKINI   Projek Fibre-to-the-Home di Rumah Keluarga Angkatan Tentera catat kemajuan positif, sebahagian siap lebih awal daripada jadual - Fahmi | Krisis Bekalan Global: Jaminan bekalan keperluan asas sentiasa mencukupi antara tiga strategi utama lindungi rakyat - TPM Fadillah | Krisis bekalan global: Kerajaan ambil tindakan awal pastikan rakyat kekal dilindungi dalam menghadapi gelombang kedua - TPM Fadillah | Dunia memasuki gelombang kedua krisis bekalan global, iaitu gangguan bekalan barangan berasaskan minyak dan gas - TPM Fadillah | Siri Ops Tiris berjaya catat nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM263.41 juta menerusi 6,773 kes sehingga 23 April -- KP KPDN | 

Lawatan Menteri Ekonomi Ke PIC, ACI Perkukuh Keterjaminan Tenaga Dan Makanan Negara

JOHOR BAHRU, 24 April (Bernama) -- Lawatan Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir ke Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) dan kilang baja All Cosmos Industries Sdn. Bhd. (ACI) di Pasir Gudang hari ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh keselamatan tenaga dan makanan negara.

Menurut Kementerian Ekonomi dalam satu kenyataan, lawatan itu memberi tumpuan kepada perkembangan semasa sektor tenaga dan gas serta industri pengeluaran baja tempatan dalam mendepani cabaran global termasuk ketidaktentuan geopolitik, tekanan kos input dan gangguan rantaian bekalan antarabangsa.

"Di PIC, tumpuan diberikan kepada peranan kompleks itu dalam memastikan kestabilan bekalan bahan api dan produk petrokimia domestik yang menjadi asas penting kepada pelbagai industri hiliran termasuk pengeluaran barangan plastik keperluan harian.

"Dengan kapasiti penapisan sebanyak 300,000 tong sehari dan pengeluaran petrokimia melebihi 3.3 juta tan metrik setahun, PIC terus kekal sebagai aset strategik negara dalam menyokong keselamatan tenaga, memperkukuh industri bernilai tambah tinggi serta meningkatkan keupayaan eksport," jelas kenyataan itu.

Lawatan itu turut meneliti kemajuan inisiatif Hab Biobahan Api di Pengerang, selaras dengan agenda Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), termasuk usaha memperluas pelaksanaan biodiesel B15 sebagai langkah memperkukuh daya tahan bekalan tenaga negara.

Sementara itu di ACI, perbincangan tertumpu kepada cabaran industri baja tempatan seperti ketidaktentuan bekalan bahan mentah, kenaikan kos logistik dan tekanan harga input yang memberi kesan kepada pengeluaran.

Kenyataan tersebut memaklumkan yang kerajaan menekankan usaha memperkukuh daya tahan industri melalui kepelbagaian sumber bahan mentah, peningkatan kecekapan pengeluaran dan peluasan kapasiti untuk memenuhi keperluan domestik.

"Pengeluaran baja bio-organik turut diberi perhatian sebagai alternatif kepada baja konvensional untuk mengurangkan kebergantungan kepada input import serta memperkukuh rantaian bekalan sektor pertanian negara.

"Secara keseluruhannya, lawatan ke PIC dan ACI itu menzahirkan usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh keselamatan tenaga dan makanan negara demi kesejahteraan rakyat serta ketahanan ekonomi jangka panjang," tambah kenyataan itu.

--BERNAMA