BERITA TERKINI   Liga Super: Kelantan TRW 0-6 Selangor | Projek Fibre-to-the-Home di Rumah Keluarga Angkatan Tentera catat kemajuan positif, sebahagian siap lebih awal daripada jadual - Fahmi | 

Ringgit Ditutup Tinggi Berbanding Kebanyakan Mata Wang Utama, Mendatar Berbanding Dolar AS

KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Ringgit ditutup tinggi berbanding kebanyakan mata wang utama dan kekal stabil berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat.

Pada 6 petang, ringgit tidak berubah daripada paras 3.9630/9670 berbanding dolar AS.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kerajaan sedang melaksanakan pendekatan bersasar untuk meningkatkan akses pembiayaan bagi perniagaan kecil dalam tempoh mencabar, sekali gus menyokong sentimen pasaran secara keseluruhan.

Ringgit meningkat sebanyak 0.09 peratus kepada RM3.9615 berbanding dolar AS ketika sesi awal dagangan.

Beliau juga berkata Indeks Dolar AS (DXY) kekal stabil pada paras 98 mata susulan tiada perkembangan terkini dalam rundingan antara AS dan Iran.

“Pasaran dilihat berharap agar sebarang bentuk penyelesaian dapat dicapai antara kedua-dua negara,” katanya kepada Bernama.

Pada akhir dagangan, ringgit lebih kukuh berbanding beberapa mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding euro kepada 4.6312/6358 daripada 4.6343/6390 ketika ditutup semalam, dan naik berbanding yen Jepun kepada 2.4808/4834 daripada 2.4809/4836.

Ringgit turut mengukuh berbanding pound British kepada 5.3429/3483 daripada 5.3504/3558.

Pada masa sama, mata wang tempatan mencatatkan prestasi dagangan yang bercampur-campur berbanding mata wang negara ASEAN.

Unit domestik meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1009/1043 daripada 3.1041/1075 ketika ditutup pada Rabu, serta mengukuh berbanding peso Filipina kepada 6.52/6.53 daripada 6.55/6.56.

Bagaimanapun, ringgit rendah berbanding baht Thailand kepada 12.2183/2363 daripada 12.2066/2242 dan turun berbanding rupiah Indonesia kepada 230.0/230.3 daripada 229.2/229.5.

-- BERNAMA