BERITA TERKINI   PM Anwar tiba di Ashgabat pada 8 malam (11 malam waktu Malaysia) untuk lawatan rasmi dua hari ke Turkmenistan | Kerajaan Persekutuan luluskan penubuhan Majlis Tahfiz Negara - TPM Ahmad Zahid | PRN Johor: Chu Poh Yee calon DAP bagi kerusi DUN Mengkibol menggantikan penyandang Chew Chong Sin - Loke | 

Pasaran Getah Dijangka Alami Ketidaktentuan Dengan Aliran Menurun Sedikit Minggu Depan

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia dijangka mengalami ketidaktentuan minggu depan dengan aliran menurun sedikit berikutan kekurangan bekalan minyak mentah yang melalui Selat Hormuz, menurut pakar industri Denis Low.

Beliau berkata keadaan itu juga turut dipengaruhi oleh ketidaktentuan dalam perjanjian damai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang mengakibatkan hampir semua barangan mengalami kekurangan bekalan, sekali gus mendorong kenaikan harga.

"Apabila ketidaktentuan dan kekurangan bekalan berlaku, harga akan menjadi tidak menentu disebabkan dinamik kekurangan itu dan ia mungkin mewujudkan aktiviti pengambilan untung yang berlebihan.

"Realiti tentang kekurangan bekalan boleh difahami, tetapi pengambilan untung berlebihan mungkin tidak mampan," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata situasi geopolitik semasa juga turut melonjakkan harga komoditi tertentu melangkaui jangkaan, di samping mengurangkan atau mengehadkan permintaan bagi barang-barang yang lain.

Bagi asas perbandingan Jumaat ke Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) meningkat 37.5 sen kepada 841 sen sekilogram, manakala lateks pukal menyusut 10.5 sen kepada 757.5 sen sekilogram.

-- BERNAMA