BERITA TERKINI   PH kesal tindakan 14 ADUN UMNO / BN Negeri Sembilan, sifatkan tidak hayati semangat Kerajaan Perpaduan - Fahmi | Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Biobahan Api ditubuhkan bagi menyelaraskan pelaksanaan agenda keselamatan tenaga negara - Akmal Nasrullah | Peranan GLC dan GLIC bukan sekadar pertahan pulangan pelaburan, malah bantu perkukuh daya tahan ekonomi - Akmal Nasrulllah | Kerajaan tumpu pada sektor elektrik, industri pembinaan, pasaran buruh dan penilaian ekonomi jangka sederhana dalam mesyuarat MTEN minggu ini - Akmal Nasrullah | Pasaran ekuiti tempatan berdaya tahan dengan meningkat 1.5 peratus pada Jumaat lepas, mencerminkan keyakinan pelabur terhadap asas ekonomi negara - Akmal Nasrullah | 

Malaysia Perlu Perkukuh Daya Tahan Siber Dalam Persekitaran AI Termaju - PM Anwar

KUALA LUMPUR, 27 April  (Bernama) -- Malaysia perlu terus berwaspada dan memperkukuh daya tahan negara untuk berdepan ancaman siber baharu susulan perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata perkembangan sedemikian menekankan keperluan untuk negara meningkatkan kesediaan melalui agensi seperti Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) berikutan keupayaan AI yang terus berkembang.

“Kemunculan model AI yang semakin canggih termasuk mampu mengenal pasti kelemahan dalam sistem perisian yang digunakan secara meluas, telah menimbulkan kebimbangan serius dalam kalangan kerajaan, pengawal selia dan agensi keselamatan di seluruh dunia,” kata beliau dalam ucaptama pada majlis pelancaran Huawei AI Lab dan Pusat Inovasi di sini hari ini.

Menurut Anwar, kerajaan, pengawal selia dan agensi keselamatan kini sedang mengkaji implikasi keupayaan AI termaju terhadap daya tahan infrastruktur yang menjadi asas kepada kehidupan masyarakat.

Beliau berkata walaupun kebimbangan mengenai impak teknologi bukanlah sesuatu perkara baharu, dunia kini telah melepasi ambang yang tidak boleh diabaikan memandangkan perkembangan terkini menunjukkan bahawa sistem AI mampu mengenal pasti kelemahan kritikal dalam perisian yang digunakan secara meluas.

Perdana Menteri berkata Malaysia sedang membangunkan tindak balasnya bagi memastikan daya tahan dalam menghadapi ancaman digital yang sentiasa berubah di samping terus memajukan agenda transformasi digitalnya.

-- BERNAMA