BERITA TERKINI   Inflasi Malaysia meningkat 2.0 peratus pada Mei 2026 - DOSM | Lebihan dagangan meningkat kepada RM40.4 bilion pada Mei 2026, sekali gus mencatat lebihan selama 73 bulan berturut-turut sejak Mei 2020 - DOSM | Eksport Malaysia tumbuh 45.3 peratus kepada RM184.0 bilion, import naik 14.1 peratus kepada RM143.6 bilion pada Mei 2026 - DOSM | Jumlah perdagangan Malaysia meningkat 29.8 peratus kepada RM327.6 bilion pada Mei 2026, didorong pertumbuhan eksport lebih kukuh - DOSM | DBKL peruntuk RM200 juta di bawah Program Lestari Niaga bangunkan semula 287 lokasi gerai penjaja di ibu negara - Hannah | 

Penarikan Balik Cukai Pegangan Beri Kesan Minimum Kepada KLCCP Stapled Group

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Penarikan balik cukai pegangan sebanyak 10 peratus oleh kerajaan Malaysia memberi kesan minimum terhadap KLCCP Stapled Group disebabkan oleh komposisi pemegang sahamnya.

KLCCP Stapled Group terdiri daripada KLCC Property Holdings Bhd dan KLCC Real Estate Investment Trust (KLCC REIT).

Ketua Pegawai Kewangannya Ahmad Hakimi Muhammad Radzi berkata berbanding beberapa pemain amanah pelaburan hartanah (REIT) yang lain, KLCCP Stapled Group agak terlindung daripada kesan perubahan ini.

Beliau turut mengakui bahawa perubahan berkenaan mempunyai implikasi lebih luas kepada industri REIT Malaysia secara keseluruhan.

“Jika anda membandingkan industri REIT Malaysia dengan pasaran seperti Singapura, terdapat kesan terhadap sejauh mana daya saing kita.

“Dari segi libat urus kami dengan kerajaan, cabarannya adalah bagaimana kami boleh kekal berdaya saing tanpa terlalu bergantung kepada insentif berkenaan. Itulah yang sedang kami usahakan bersama-sama dengan pemain REIT yang lain,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KLCCP Stapled Group Datuk Mohd Salem Kailany berkata industri REIT kekal sebagai kelas aset yang berdaya tahan dan dikenali kerana memberi pendapatan dividen yang stabil.

“(Walaupun dengan penarikan balik cukai pegangan) pembayaran dividen REIT akan terus stabil.

“Dari perspektif pelabur, REIT masih menjadi instrumen pilihan untuk pelaburan kerana ia menawarkan dividen yang stabil dan kurang turun naik,” tambah beliau.

Pada 19 Mac lepas, dilaporkan kerajaan Malaysia telah menghentikan kadar cukai pegangan keutamaan bagi dividen daripada REIT dan tabung amanah harta (PTF).

Menurut Nota Amalan 2/2026 yang dikeluarkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), kadar konsesi 10 peratus sebelum ini bagi kebanyakan pelabur bukan korporat telah dimansuhkan, berkuat kuasa tahun ini.

Dalam pada itu, rakyat Malaysia akan dikenakan cukai berdasarkan kadar cukai pendapatan individu semasa tanpa potongan cukai pegangan pada sumbernya.

-- BERNAMA