BERITA TERKINI   PM Anwar tiba di Ashgabat pada 8 malam (11 malam waktu Malaysia) untuk lawatan rasmi dua hari ke Turkmenistan | Kerajaan Persekutuan luluskan penubuhan Majlis Tahfiz Negara - TPM Ahmad Zahid | PRN Johor: Chu Poh Yee calon DAP bagi kerusi DUN Mengkibol menggantikan penyandang Chew Chong Sin - Loke | Bekalan minyak: draf perjanjian dan prinsip kerjasama telah dipersetujui, hanya menunggu proses pemuktamadan & pemeteraian selepas lawatan teknikal terperinci - PM Anwar | Rusia beri jaminan bekalan minyak dan gas kepada Malaysia untuk jangka masa panjang - PM Anwar | 

Bank Islam Terbit Sukuk Murabahah Senior RM1 Bilion Mengikut Program RM10 Bilion

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Bank Islam Malaysia Bhd berjaya menerbitkan sukuk murabahah senior bernilai RM1.0 bilion menerusi program sukuk murabahah RM10 bilion.

Bank itu menjelaskan penerbitan tersebut mewakili tranche ke-10 mengikut program itu.

Sukuk itu meliputi dua siri dengan masing-masing bernilai RM500 juta dan tempoh matang tujuh dan 10 tahun.

Menurut Bank Islam tranche tujuh tahun akan matang pada 28 April, 2033 manakala tranche 10 tahun pada 28 April, 2036.

“Hasil daripada terbitan ini akan digunakan untuk aktiviti perbankan Bank Islam, keperluan modal kerja serta tujuan korporat lain,” tambahnya.

 Dalam kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Raja Datin Paduka Teh Maimunah Raja Abdul Aziz berkata terbitan itu mencerminkan keyakinan berterusan pelabur terhadap kekukuhan kredit bank.

“Penerbitan itu juga membuktikan pendekatan berdisiplin kami dalam pengurusan lembaran imbangan dan komitmen kami untuk memastikan pembiayaan yang mampan bagi menyokong pertumbuhan bank dan keperluan pihak berkepentingan yang sentiasa berkembang, selaras dengan prinsip syariah,” katanya.

Sukuk tersebut menawarkan kadar keuntungan tetap sebanyak 4.01 peratus setahun bagi siri tujuh tahun dan 4.10 peratus setahun bagi siri 10 tahun, serta diberi penarafan AA3 dengan prospek stabil oleh RAM Rating Services Bhd.

-- BERNAMA