Sharp Malaysia Tingkat Penglibatan Pengguna Susulan Kerjasama Dengan Nojima Jepun
KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Sharp Electronics (Malaysia) Sdn Bhd memperkukuh penglibatan bersama pengguna menerusi kerjasama dengan peruncit peralatan elektrik Jepun, Nojima Malaysia, di samping merancang untuk memperluas ekosistem jenama Jepun miliknya.
Pengarah Urusannya Ting Yang Chung berkata kerjasama yang dimulakan di LaLaport Bukit Bintang City Centre itu menjadi titik permulaan kepada pengembangan lebih besar jenama dari Jepun serta kerjasama merentas industri.
“Saya melihat LaLaport sebagai lokasi utama yang pertama, khususnya dengan kehadiran jenama dan pelanggan Jepun yang mencari sesuatu dari Jepun.
“Tetapi kami juga bekerjasama dengan lebih banyak jenama dari Jepun dan juga merentasi industri termasuk makanan dan minuman,” katanya selepas majlis pelancaran kerjasama Sharp Electronics Malaysia dan Nojima di sini hari ini.
Beliau berkata Sharp Malaysia terus meneroka kerjasama di luar segmen runcit tradisional, termasuk mengintegrasikan elemen gaya hidup bagi mewujudkan pengalaman hidup Jepun yang lebih menyeluruh.
Mengenai sasaran pertumbuhan, Ting berkata syarikat itu kekal memberi tumpuan kepada pengukuhan penglibatan jenama dan penyampaian cadangan nilai yang berbeza kepada pengguna, berbanding hanya mengejar sasaran angka semata-mata.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan sempena pelancaran, Sharp Malaysia berkata kerjasama di bawah konsep “Japanese Living to My Home” bertujuan mentakrif semula kehidupan moden dengan membawa reka bentuk, inovasi dan falsafah perkhidmatan Jepun yang autentik ke dalam kediaman rakyat Malaysia.
Inisiatif itu juga bertujuan menjadikan LaLaport sebagai hab premium yang mengintegrasikan pelbagai jenama Jepun, termasuk jenama perabot seperti Nitori dan Aatas Living, bagi menawarkan ekosistem gaya hidup menyeluruh merangkumi keperluan kehidupan harian.
Pengarah Nojima APAC Pte Ltd Tomonori Amma berkata kerjasama itu mencerminkan komitmen syarikat dalam meningkatkan pengalaman pelanggan serta memberikan nilai tambah kepada pengguna di Malaysia.
Beliau berkata kerjasama dengan Sharp Malaysia membolehkan Nojima menawarkan jenama dipercayai serta penyelesaian inovatif yang meningkatkan kehidupan harian.
“Kami mahu pelanggan menikmati jenama dipercayai, teknologi baharu dan produk yang memudahkan kehidupan di rumah,” katanya.
-- BERNAMA