BERITA TERKINI   Kerajaan cadang perluas perlindungan PERKESO kepada warganegara Malaysia di luar negara - PM Anwar | Kerajaan komited perkasakan wanita sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan sosial negara - PM Anwar | Kerajaan setuju perkenal Elaun Pasca Cuti Bersalin iaitu bantuan kewangan bagi cuti tambahan hingga sebulan- PM Anwar | Klinik Gig Bergerak akan diwujudkan di hab penghantaran bagi pemeriksaan kesihatan percuma dan kaunseling - Ramanan | Akademi Semikonduktor KESUMA akan ditubuh untuk melatih bakat dalam reka bentuk cip dan AI - Ramanan | 

Bursa Malaysia Rendah Pada Tengah Hari

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Bursa Malaysia rendah pada tengah hari ini berikutan pelabur mengambil keuntungan selepas mencatatkan kenaikan baru-baru ini, dengan aktiviti jualan dilihat di kaunter utiliti, perkhidmatan kewangan dan teknologi.

Prestasi lemah ini secara keseluruhannya sejajar dengan bursa serantau apabila sentimen kekal berhati-hati selepas Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) memilih untuk mengekalkan kadar faedah manakala Pengerusi Fed Jerome Powell mengingatkan bahawa inflasi di AS masih belum menunjukkan tanda-tanda untuk menurun.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berkurangan 4.23 mata atau 0.24 peratus kepada 1,716.19 daripada 1,720.42 pada Rabu.

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah kepada 1,720.23 dan berada antara paras terendah pada  1,712.14 dan paras tertinggi pada 1,722.03 pada sesi dagangan pagi.

Pasaran secara menyeluruh negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 747 berbanding 292 manakala 487 kaunter tidak berubah, 1,146 tidak diniagakan dan 77 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.64 bilion unit bernilai RM1.26 bilion.

Pada peringkat serantau, Indeks Straits Times Singapura naik 0.75 peratus kepada 4,897.56, Nikkei 225 Jepun menurun 1.36 peratus kepada 59,099.62, Indeks Hang Seng Hong Kong berkurangan 1.23 peratus kepada 25,789.59 dan KOSPI Korea Selatan merosot 1.03 peratus kepada 6,622.14.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikan hari ini, Wall Street dijangka meneruskan aktiviti pengambilan untung susulan keputusan Fed untuk mengekalkan kadar faedah dan amaran Powell mengenai inflasi.

“Sentimen turut dipengaruhi oleh langkah Presiden AS Donald Trump yang menolak cadangan terkini Iran, menyebabkan harga minyak melonjak ke arah US$120 setong.

“Sementara itu, pertumbuhan pesat perniagaan awan oleh Alphabet dan Microsoft, di samping pelan perbelanjaan modal yang agresif oleh Meta, menunjukkan momentum pertumbuhan kecerdasan buatan (AI) tidak perlahan, mengimbangi naratif ‘kebimbangan pertumbuhan OpenAI’,” menurutnya.

Menurut firma sekuriti itu, pasaran mungkin melihat pusingan jualan di kaunter pengeluar cip dan berkaitan AI sebagai penurunan sementara yang baik, membuka peluang untuk pembelian saham.

Dalam negara, Malacca Securities memaklumkan FBM KLCI dijangka mengakhiri minggu ini dengan mencatatkan prestasi yang lemah, seiring dengan jualan di AS.

“Dalam persekitaran harga minyak yang tinggi pada masa ini, sentimen dijangka memberi prospek yang baik kepada kaunter berkaitan tenaga dan kimia, termasuk Petron Malaysia Refining & Marketing, Hengyuan Refining Company dan Petronas Chemicals Group,” menurutnya.

Petron Malaysia Refining meningkat empat sen kepada RM4.43 dan Hengyuan Refining naik lima sen kepada RM1.38. Petronas Chemicals antara kaunter paling untung apabila melonjak 13 sen kepada RM5.79.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat empat sen kepada RM11.08 dan IHH Healthcare naik lima sen kepada RM8.86. Public Bank merosot lima sen kepada RM4.70, Tenaga Nasional menurun 12 sen kepada RM14.48 dan CIMB berkurangan tiga sen kepada RM7.66.

Dalam senarai paling aktif, Zetrix AI berkurangan 5.5 sen kepada 80 sen, Econpile menurun dua sen kepada 14.5 sen dan UEM Sunrise merosot 3.5 sen kepada 65 sen. Borneo Oil dan Hubline, masing-masing mendatar pada setengah sen dan empat sen.

Kaunter paling untung termasuklah Nestle meningkat RM5.90 kepada RM108.80, LPI melonjak 26 sen kepada RM14.66, Hong Leong Industries menambah 20 sen kepada RM17.70, Riverview Rubber naik 15 sen kepada RM3.00, Petronas Dagangan menokok 12 sen kepada RM20.42 dan MBM Resources meningkat sembilan sen kepada RM5.09.

Kaunter paling rugi ialah MPI berkurangan 66 sen kepada RM3734, United Plantations menurun 36 sen kepada RM31.64, KESM merosot 20 sen kepada RM3.95, Kelington menyusut 13 sen kepada RM6.02 dan Allianz menurun 12 sen kepada RM20.68.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 52.92 mata kepada 12,690.28, Indeks FBM Top 100 berkurangan 47.70 mata kepada 12,523.92, Indeks FBM Emas Shariah jatuh 46.39 mata kepada 12,661.45, Indeks FBM Mid 70 menurun 141.24 mata kepada 18,056.86 dan Indeks FBM ACE menyusut 63.75 mata kepada 4,599.74.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga merosot 1.37 mata kepada 843.69, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 83.69 mata kepada 19,901.12, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menurun 0.24 mata kepada 194.89 manakala Indeks Perladangan naik 29.83 mata kepada 8,847.62.

-- BERNAMA