MBSB Bank Perkukuh Jejak Di Utara Menerusi Pemindahan Cawangan Di Kangar, Kulim
KANGAR, 30 April (Bernama) -- MBSB Bank Bhd bertindak mengukuhkan jejaknya di wilayah utara Malaysia menerusi pembukaan semula cawangan di Kangar, Perlis dan Kulim di Kedah.
Langkah itu sekali gus membuktikan komitmen bank berkenaan bagi meningkatkan akses pelanggan serta mengembangkan liputan perkhidmatan merentasi kawasan pertumbuhan utama.
Cawangan di Kangar telah diubah ke Kangar Jaya manakala cawangan di Kulim kini berpindah ke Kelang Lama Square.
Dalam kenyataan hari ini, MBSB memaklumkan langkah itu menyokong usaha berterusannya dalam memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih dekat dengan pelanggan merangkumi pelbagai segmen runcit, individu dengan kekayaan atau nilai bersih tinggi, perusahaan kecil dan sederhana serta korporat selain turut mengembangkan akses terhadap penyelesaian kewangan patuh Syariah.
“Pemindahan cawangan Kangar dan Kulim ini mengukuhkan lagi kehadiran MBSB di dua daerah ini, meningkatkan akses di kawasan dengan aliran mobiliti tinggi serta menambah baik ketampakan jenama serta liputan perkhidmatan di utara Malaysia.
"Kangar misalnya menyokong usaha jangkauan komuniti lebih besar serta keterangkuman kewangan manakala Kulim mengukuhkan kedudukan bank ini di kawasan yang aktif secara komersial dan mencatat pertumbuhan tinggi,” menurutnya.
Bersempena pembukaan itu, MBSB memperkenalkan tawaran terhad bermula 20 April hingga 31 Mei 2026 yang merangkumi kadar Deposit Tetap-i sebanyak 3.78 peratus setahun bagi tempoh 12 bulan.
“Pakej pelaburan unit amanah terpilih juga ditawarkan dalam tempoh promosi dengan ganjaran pulangan tunai 25 peratus bagi caj jualan kasar dalam bentuk PrimeGold-i," menurutnya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Perbankan Pengguna Kumpulan Usman Ghouse berkata jejak MBSB di Kangar dan Kulim memaparkan matlamat strategik bagi memudahkan akses pengguna selain mengukuhkan aspek penyampaian perkhidmatan.
“Pembukaan cawangan ini membolehkan MBSB dan perkhidmatan berada di kawasan yang lebih hampir dengan komuniti selain memperkukuh komitmen terhadap penyelesaian praktikal dan dipacu oleh hubungan untuk kemajuan kewangan yang melibatkan pelbagai segmen pelanggan,” katanya.
-- BERNAMA