BERITA TERKINI   Kemelut Negeri Sembilan: Jangan sampai gugat usaha memulihkan ekonomi dan memelihara kepentingan rakyat - PM Anwar | Kerajaan hubungi negara Teluk dan Arab untuk cari jalan lepaskan rakyat Malaysia yang ditahan rejim Israel - PM Anwar | Penahanan peserta GSF dan rakyat Malaysia oleh rejim Israel kerja gila, tidak hormat prinsip kemanusiaan sejagat - PM Anwar | PM Anwar umum Pakej Daya Tahan Ekonomi Progressive Acceleration for Capability and Employment bernilai lebih RM710 juta bagi perkukuh kestabilan pasaran buruh negara | Malaysia masih kekalkan harga BUDI95 pada RM1.99 seliter meskipun kebanyakan negara pengeluar minyak naikkan harga - PM Anwar | 

MAB Academy Sasar Jadi Pusat Kecemerlangan Latihan Penerbangan Terkemuka ASEAN

Oleh Danni Haizal Danial Donald

SEPANG, 1 Mei (Bernama) -- MAB Academy Sdn Bhd, cabang latihan Malaysia Aviation Group (MAG), menyasarkan untuk muncul sebagai pusat kecemerlangan terkemuka ASEAN bagi latihan penerbangan, hospitaliti dan profesional dengan program berasaskan praktikal untuk mewujudkan tenaga kerja sedia masa depan.

Ketua Pegawai Operasi Kapten Mohamad Khairul Ahmad Jahudi berkata ini juga sejajar peranan MAB Academy untuk melabur dalam kemudahan latihan bertaraf tinggi, beroperasi dalam industri dengan kawal selia ketat serta memperkukuh kesiapsiagaan juruterbang agar seiring dengan perkembangan komuniti penerbangan.

“Kami percaya latihan (penerbangan) perlu realistik dan penglibatan secara menyeluruh menerusi simulasi, pembelajaran berasaskan peranan dan senario. Di MAB Academy, kami mengetengahkan keadaan operasi sebenar bagi memastikan pelatih benar-benar bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan tugas dengan yakin dan cekap dalam keadaan sebenar.

“Di samping itu, kami turut berperanan penting dalam perancangan rantaian bekalan bakat bagi industri penerbangan, sejajar dengan kepesatan pertumbuhan industri penerbangan Asia Pasifik yang memerlukan ramai juruterbang, jurutera dan anak kapal,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program pengalaman media ‘A Day in the Life of a Pilot’ bersempena sambutan Hari Juruterbang Sedunia yang jatuh pada 26 April.

Setakat 1 April 2026, syarikat penerbangan di bawah MAG iaitu Malaysia Airlines dan Firefly mempunyai sebanyak 1,375 juruterbang aktif yang berpangkalan di Malaysia iaitu masing-masing 1,349 barisan juruterbang serta 26 juruterbang pengurusan.

MAB Academy juga merancang melakukan pengambilan sebanyak 144 juruterbang kadet pada tahun ini.

Pada masa ini, akademi itu mempunyai sebanyak 141 juruterbang kadet yang aktif dan sedang menjalani latihan di sekolah penerbangan di serata Malaysia, termasuk Akademi Latihan Aeronautik Asia di Johor, Akademi Latihan Aero Antarabangsa di Melaka, BATS Aviation Sdn Bhd in Perak dan HM Aerospace Sdn Bhd in Kedah.

Ditubuhkan pada 2024, MAB Academy berperanan sebagai pusat kecemerlangan MAG bagi aspek Pembelajaran dan Pembangunan dengan menawarkan lebih 600 kursus latihan serta disokong oleh 150 tenaga pengajar.

Akademi itu turut menyediakan perkhidmatan latihan kepada lebih 30 syarikat penerbangan tempatan dan antarabangsa.

Sementara itu bercakap kepada Bernama, juruterbang Boeing 737-800 Malaysia Airlines Kapten Joshua Bryan Bansh berkata latihan juruterbang merupakan fasa penting dalam setiap perjalanan kerjaya itu dan MAB Academy terus memainkan peranan penting sebagai rakan utama dalam laluan pembangunan berkenaan.

“Sebagai juruterbang, kami kerap kembali ke akademi untuk memperbaharui kelayakan serta menjalani latihan berkala serta kemudahan bertaraf tinggi MAB Academy. Ini merangkumi simulator hingga infrastruktur latihan keselamatan khusus berkaitan pintu dan kebakaran bagi memastikan sentiasa beroperasi pada tahap tertinggi.

“Akademi ini jelas berperanan penting sebagai asas dalam membentuk perjalanan saya sebagai juruterbang syarikat penerbangan, khususnya di peringkat awal dengan melengkapkan asas kukuh pengetahuan, kecekapan teknikal dan disiplin, sebelum mengikuti latihan serta melakukan operasi penerbangan,” katanya.

-- BERNAMA