BERITA TERKINI   Bekalan minyak negara masih mencukupi, belum perlu catuan - PM Anwar | PM Anwar umum peruntukan RM5 juta kepada Majlis Belia Malaysia | PM Anwar gesa agensi pembangunan usahawan pergiat usaha turun padang kenal pasti keperluan usahawan, bukan hanya tunggu di pejabat | 

Rural Capital Lancar Inisiatif SKOPP Bernilai RM20 Juta Bagi Perkasa Kontraktor Bumiputera

KUALA LUMPUR, 1 Mei (Bernama) -- Rural Capital Berhad (RCB) melancarkan Skim Pembiayaan Kontrak Perkhidmatan dan Pembekalan (SKOPP), satu inisiatif bernilai RM20 juta yang direka untuk memperkukuh sokongan modal kerja dan meningkatkan keupayaan pelaksanaan kontrak dalam kalangan kontraktor Bumiputera.

Dalam satu kenyataan, RCB memaklumkan skim itu akan memberi tumpuan utama kepada projek di bawah Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS), sekali gus menyokong usaha nasional dalam penyediaan perumahan berkualiti di samping memperkasa penyertaan Bumiputera dalam projek berkaitan kerajaan.

“Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, RCB telah menyampaikan replika pembiayaan berjumlah RM20 juta, merangkumi RM10 juta kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan RM10 juta kepada Felcra Bina Sdn Bhd,” menurut kenyataan itu.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bersempena sambutan ulang tahun ke-60 MARA yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia.

Pengerusi RCB Datuk Noor Hariri Mohamed Noor berkata SKOPP mencerminkan komitmen berterusan pihaknya dalam menyediakan penyelesaian pembiayaan bersasar bagi menangani jurang struktur yang dihadapi oleh kontraktor Bumiputera.

“Menerusi SKOPP, kami memperluas pendekatan ini dengan memberi tumpuan kepada segmen berimpak tinggi seperti JAKOA dan Felcra di mana kontraktor sering berdepan kekangan akses kepada pembiayaan formal walaupun mempunyai projek yang kukuh.

“Inisiatif ini bertujuan membuka nilai potensi mereka, meningkatkan kecekapan pelaksanaan dan  memastikan penyertaan yang lebih inklusif dalam program pembangunan negara,” katanya.

Noor Hariri berkata RCB akan terus memperluaskan capaian ke sektor dan agensi lain termasuk infrastruktur, pembangunan luar bandar dan ekonomi hijau, selaras dengan matlamat untuk memajukan pembiayaan yang mampan dan inklusif.

“Kerjasama RCB sebelum ini bersama GiatMARA telah membuktikan bahawa pembiayaan yang bersasar dan tersusun mampu meningkatkan daya tahan perniagaan serta keupayaan pelaksanaan projek dalam kalangan usahawan Bumiputera.

“Sehingga kini, sebanyak 135 kontrak telah dibiayai dengan nilai keseluruhan RM8.3 juta, disokong dengan prestasi bayaran balik yang kukuh serta pertumbuhan perniagaan yang dapat diukur,” tambah beliau.

-- BERNAMA